Pulau Pinang hantar surat permohonan bincang isu KXP

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menghantar surat kepada Kementerian Pengangkutan memohon mesyuarat tiga hala diaturkan bagi membincangkan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) seperti yang diminta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, surat permohonan dihantar menerusi Pejabat Ketua Menteri kepada kementerian tersebut selepas sidang medianya semalam meminta mesyuarat dengannya bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

"Seperti sebelum ini, Tun Mahathir ada meminta perbincangan antara Pulau Pinang, Kedah dan menteri diadakan bagi membincangkan isu tersebut. Malah perkara itu telah dicatatkan dalam minit mesyuarat yang diadakan Februari lalu.

"Sejak 26 Februari lalu, tiada maklum balas dari pihak kementerian dan disebabkan itu kita menghantar surat untuk memohon mesyuarat ini dapat diaturkan. Kita harap mesyuarat ini dapat diaturkan namun tiada cadangan tarikh diberikan," katanya pada sidang media di Lebuh Acheh di sini hari ini.

Menurutnya, mesyuarat itu diharap dapat diadakan sebelum Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri bersama Perdana Menteri Julai ini.

"Kita akan tunggu jawapan daripada pihak kementerian dan akan menyusun jadual mengikut tarikh yang ditetapkan nanti," katanya.

Terdahulu, Kerajaan Pulau Pinang meminta kerajaan Pusat melaksanakan kajian kebolehlaksanaan terlebih dahulu sebelum pembinaan KXP.

Kon Yeow berkata, kajian itu bagi mengkaji keseluruhan impak termasuk kesan jangka panjang kepada ekonomi Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, kerajaan negeri akan menandatangani perjanjian berhubung pembinaan pintasan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Air Itam bersama pihak pemaju.

Kon Yeow berkata, proses itu akan dilakukan dalam masa terdekat iaitu dalam tempoh sebulan.

"Projek lebuh raya kedua (daripada tiga lebuh raya) yang akan bermula pada September ini kini di peringkat akhir. dan ia membabitkan proses semakan perincian bersama penasihat undang-undang.

"Kerajaan negeri menjangkakan perjanjian projek itu akan dimuktamadkan dan ditandatangan dalam tempoh sebulan," katanya.

Tiga lebuh raya pintasan tersebut adalah salah satu komponen Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang turut mengandungi terowong dasar laut dan dijangka menelan kos sebanyak RM46 bilion.