Penduduk bantah aktiviti pelancongan di kaki bukit batu kapur

Penduduk Taman Saikat membantah sebarang pembinaan aktiviti pelancongan dan komersial di kaki bukit batu kapur berhampiran rumah mereka.
Penduduk Taman Saikat membantah sebarang pembinaan aktiviti pelancongan dan komersial di kaki bukit batu kapur berhampiran rumah mereka.
A
A
A

IPOH - Lebih 500 penduduk membantah pembinaan sebarang aktiviti pelancongan dan komersial di kaki bukit batu kapur berhampiran rumah mereka di Taman Saikat dekat Gunung Rapat di sini.

Pengerusinya, Surindar Singh berkata, kewujudan perkampungan pelancongan di belakang taman mereka sejak 2014 menyebabkan isu kesesakan lalu lintas tidak selesai hingga kini.

Menurutnya, penduduk kini bimbang apabila ada pihak ketiga mula menjalankan pembinaan sebuah kafe dan taman eko di kawasan seluas tiga hektar, bulan lalu.

"Terdapat dua jalan dibuka yang akan menyebabkan kesesakan lalu lintas di taman ini. Bantahan disuarakan sejak Januari lalu kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) agar sebarang aktiviti yang merosakkan alam sekitar dihentikan.

"Kami tidak mengetahui sejak bila projek ini diluluskan kepada pihak ketiga apabila tiada mana-mana pihak tampil menjelaskan kepada penduduk," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Surindar (dua dari kanan) mahu MBI membuat penjelasan terhadap kelulusan projek berhampiran rumah penduduk di Taman Saikat, Ipoh.
Surindar (dua dari kanan) mahu MBI membuat penjelasan terhadap kelulusan projek berhampiran rumah penduduk di Taman Saikat, Ipoh.

Surindar berkata, sebarang aktiviti di kaki bukit kapur memberi risiko terutama isu keselamatan pengunjung serta penduduk.

"Banyak kejadian melibatkan batu kapur runtuh dilaporkan. Kita tidak mahu apabila berlakunya kejadian yang meragut nyawa barulah pihak kerajaan buka mata.

"Kita mahu satu mesyuarat diadakan dalam tempoh 14 hari bagi membincangkan perkara ini lebih terperinci sebelum tindakan undang-undang diambil," katanya.

Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, tinjauan yang dijalankan mendapati kawasan persekitaran taman penduduk ini merupakan kawasan hijau berdasarkan Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh (Penggantian) 2035.

"Kami menyokong usaha komuniti ini mempertahankan kawasan persekitaran dieksploitasi. Setakat ini, tiada pengubahan zon dilakukan dan bagaimana pihak terlibat memiliki tanah ini.

"Projek mewujudkan taman eko dan kafe itu dilihat bercanggah dan MBI wajar menguatkuasakan apa yang terkandung dalam rancangan tempatan tersebut," katanya.

Tambah Meor Razak, kawasan hijau itu turut menempatkan lotong yang merupakan spesies yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Sementara itu, MBI ketika dihubungi menerima makluman berhubung aduan tersebut dan satu kenyataan balas akan dikeluarkan dalam masa terdekat.