Polis bongkar makmal proses dadah

Kok Chin (kiri) menunjukkan dadah jenis heroin yang dirampas daripada dua suspek.
Kok Chin (kiri) menunjukkan dadah jenis heroin yang dirampas daripada dua suspek.
A
A
A

GEORGETOWN - Dua lelaki ditahan bersama 10 kilogram dadah jenis heroin dan 6.25 gram dadah jenis syabu yang keseluruhan bernilai RM135,250 dalam serbuan di kawasan Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Datuk Khaw Kok Chin berkata, serbuan dilakukan jam 7 pagi hasil risikan yang dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang mengenai aktiviti memproses dan mengedar dadah yang dilakukan kedua-dua suspek.

Menurut Kok Chin, susulan daripada tangkapan itu membawa kepada serbuan di sebuah rumah di kawasan Bandar Bahru, Kedah yang dijadikan makmal memproses dadah.

"Dalam kedua-dua serbuan ini, polis merampas sebanyak 22 bungkusan dadah jenis heroin seberat 10 kilogram, satu peket lut sinar syabu (6.25gram) dan dua peket serbuk putih disyaki kafein seberat 1.28 kilogram selain pelbagai peralatan bagi pemprosesan dadah.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemuanya positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine serta mempunyai pelbagai rekod lampau berkait jenayah dan dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, pada Ahad.

Kok Chin (kiri) menunjukkan peralatan memproses dadah yang dirampas di sebuah rumah di kawasan Bandar Bahru.
Kok Chin (kiri) menunjukkan peralatan memproses dadah yang dirampas di sebuah rumah di kawasan Bandar Bahru.

Kok Chin berkata, siasatan lanjut mendapati sindiket berkenaan aktif sejak awal tahun ini dan kesemua dadah yang dirampas dijual untuk pasaran tempatan.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 20,000 penagih dadah.

"Kedua-dua suspek yang berusia 27 dan 30 tahun kini direman selama tujuh hari sehingga 28 Julai untuk siasatan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.