Tuah tidak iringi aksi sempurna The City Boys - Hodak

Pemain Kuala Lumpur City, Mohamad Kamal Azizi Mohamad Zabri (kiri) mengasak bintang muda JDT, Arif Aiman Hanapi dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu. - Foto Bernama
Pemain Kuala Lumpur City, Mohamad Kamal Azizi Mohamad Zabri (kiri) mengasak bintang muda JDT, Arif Aiman Hanapi dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Bojan Hodak menyifatkan skuad kendaliannya itu menampilkan permainan sempurna ketika berdepan penyandang juara Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi final Piala FA 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.

Namun, Bojan menegaskan tuah nyata tidak mengiringi skuad The City Boys itu bagi melakar kejayaan biarpun berjaya memaksa skuad Harimau Selatan itu bekerja keras di sepanjang perlawanan.

"Kami bermain 70 minit penuh berdisiplin, mengikut perancangan pasukan kerana sebelum perlawanan saya menegaskan kepada pemain bahawa KL City perlu menampilkan permainan sempurna untuk mengalahkan pasukan seperti JDT.

"Aksi babak pertama agak baik apabila kami memperoleh dua peluang menjaringkan gol dan bola rembatan Marko (Zirdum), tapi saya tak tahu bagaimana Syihan (Hazmi Mohamed) dapat menyelamatkannya, selain peluang Sara (T Saravanan) yang hampir mencipta gol.

"Namun, apabila pemain JDT nombor enam (Shio Hong Wan) menjaringkan gol...bagi saya pemain itu belum pernah jaring gol sepanjang kariernya telah menyentap semangat juang pemain KL City...disusuli pula gol pemain nombor 10 (Leandro Velazquez) yang jelas meruntuhkan semangat kami,” kata Bojan selepas perlawanan tersebut.

Pada aksi final yang menyaksikan kehadiran 33,598 penonton di Stadium Sultan Ibrahim, JDT membuktikan juara sembilan kali berturut-turut Liga Super itu berada dalam jelas tersendiri apabila menang 2-0 ke atas skuad warga kita itu.

Kedua-dua gol dihasilkan pada separuh masa kedua masing-masing menerusi Hong Wan pada minit ke-66 diikuti Velazquez (m-74) bagi membolehkan JDT mengekalkan kejuaraan sama selepas menewaskan Terengganu FC (TFC), 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam perlawanan akhir tahun lalu.

Sementara itu, pengendali kelahiran Croatia tersebut mengakui setiap ketua jurulatih pasti tidak akan berpuas hati untuk menerima sebarang kekalahan.

Bagaimanapun Bojan mengakui berpuas hati apabila setiap perancangan pasukan semasa sesi latihan dan sebelum perlawanan berjaya dilaksanakan dengan baik kesebelasan KL City FC pada aksi final berkenaan.

“Bahagian pertahanan KL City menjalankan tugas terbaik selain dua peluang keemasan tapi kita terlepas. Jika kita jaringkan gol, kita ada peluang menjulang trofi, namun apakan daya tuah tidak menyebelahi KL City dalam perlawanan akhir Piala FA kali ini.

"Selepas mengikat keputusan seri tanpa jaringan pada babak pertama, pemain- pemain JDT tampak menggelabah dan tekanan mula menjejaskan rentak permainan pasukan tapi selepas menjaringkan gol JDT mula mendapat keyakinan," katanya.

Tambahnya, bagi mengalahkan JDT dalam aksi final tentu sukar menandingi kualiti mereka sebaliknya perlu ada permainan sempurna dan pemain-pemain KL City hampir beraksi sempurna dalam perlawanan ini, namun nasib tidak menyebelahi pasukan.

"Biarpun begitu, saya bangga dengan pencapaian KL City selepas layak ke pentas final selama tiga tahun apabila 13 tahun lalu pasukan ini tidak pernah layak dalam pentas final, selain kami sebuah pasukan yang bajet rendah namun mampu buat kejutan, ia cukup membanggakan," kata Hodak.