Wanita biar anak kebuluran demi tuntut wang insurans

Kasumi Nawata menafikan tuduhan bahawa dia sengaja tidak memberikan anaknya makanan dalam tempoh lama. - Foto Agensi
Kasumi Nawata menafikan tuduhan bahawa dia sengaja tidak memberikan anaknya makanan dalam tempoh lama. - Foto Agensi
A
A
A

TOKYO - Polis Jepun di wilayah Osaka menahan seorang wanita kerana disyaki sengaja membiarkan anak perempuannya yang berusia sembilan tahun kebuluran.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan mangsa mengalami hipoglikemia ketonik dan dimasukkan ke hospital berulang kali.

Kasumi Nawata, 34, sengaja membiarkan anaknya jatuh sakit bagi membolehkannya menuntut pampasan daripada syarikat insurans selain membolehkannya menerima bantuan kewangan.

Lapor akhbar Yomiuri Shimbun, mangsa telah dimasukkan ke hospital sebanyak 43 kali sejak 2018 dan dalam tempoh itu, Nawata telah menerima pampasan kira-kira 5.7 juta yen (RM182,981).

Menurut kenyataan polis, mangsa langsung tidak diberikan makanan apabila berada di rumah dan hanya menjamah makanan yang disediakan pihak sekolah ketika waktu rehat.

Pada 5 Februari lalu, seorang jururawat di hospital tempat mangsa dirawat terdengar perbualan budak perempuan itu dengan ibunya menerusi pembesar suara di telefon bimbit.

Menerusi perbualan ringkas itu, Nawata meminta anaknya supaya tidak menyentuh makanan disediakan hospital dan berbaring sepanjang masa.

Dalam kes hipoglikemia ketonik (keadaan ketika kadar gula dalam darah berada di bawah paras normal) yang berpunca daripada puasa berpanjangan, pesakit boleh mengalami gejala seperti kekejangan dan muntah serta hilang kesedaran disebabkan oleh pengurangan bekalan darah beroksigen ke otak.

Difahamkan kesihatan mangsa yang dirujuk ke jabatan kebajikan kini dalam keadaan stabil.

Polis mengesyaki Nawata membelanjakan wang pampasan tersebut untuk makan di restoran dan rawatan di salon kecantikan. - Agensi