Pengundian awal tutup, 75 peratus keluar mengundi

Anggota polis mengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan pusat pengundian awal di Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan pagi ini. - Foto Bernama
Anggota polis mengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan pusat pengundian awal di Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan pagi ini. - Foto Bernama
A
A
A

SANDAKAN - Sebanyak 75 peratus pengundi awal telah keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan setelah semua pusat mengundi tutup jam 2 petang tadi.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini, dua pusat mengundi dikhususkan bagi proses pengundian awal, yang bermula pukul 8 pagi, iaitu di Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan dan Mes Pegawai Kanan Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan.

Pusat mengundi di Rumah Kelab IPD Sandakan tutup pada jam 12 tengah hari, manakala pusat mengundi di Mes Pegawai Kanan PPM Sandakan pula tutup pada jam 2 petang.

PRK Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Vivian Wong Shir Yee, yang menggunakan lambang DAP; calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas.

Calon Bebas ialah bekas pengasas Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah, Hamzah Abdullah; ahli perniagaan Chia Siew Yung dan bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen Sandakan meninggal dunia

PRK itu diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

Hari pengundian biasa ditetapkan pada Sabtu ini bermula 7.30 pagi hingga 5 petang. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Artikel Disyorkan