Selat Singapura tumpuan lanun

Peningkatan insiden di Selat Singapura mencerminkan peningkatan kes rompakan bersenjata di perairan Asia dengan 59 insiden dilaporkan pada separuh pertama tahun ini berbanding 42 kes bagi tempoh sama tahun lalu. - Agensi
Peningkatan insiden di Selat Singapura mencerminkan peningkatan kes rompakan bersenjata di perairan Asia dengan 59 insiden dilaporkan pada separuh pertama tahun ini berbanding 42 kes bagi tempoh sama tahun lalu. - Agensi
A
A
A

SINGAPURA - Selat Singapura menjadi tumpuan penjenayah maritim apabila merekodkan lebih banyak insiden rompakan bersenjata dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menurut laporan Pusat Perkongsian Maklumat, Perjanjian Kerjasama Serantau bagi Memerangi Kegiatan Lanun dan Rompakan Bersenjata ke atas Kapal di Asia (ReCAAP), sekurang-kurangnya 38 kes rompakan bersenjata dilaporkan dalam tempoh itu.

Ia adalah peningkatan 41 peratus berbanding 27 kes bagi tempoh sama pada tahun lalu.

Pengarah Eksekutif ReCAAP, N Krishnaswamy berkata, peningkatan insiden di Selat Singapura berkemungkinan disebabkan oleh keadaan sosioekonomi yang belum pulih sejak pandemik serta pengurangan tangkapan ikan akibat perubahan iklim dan monsun barat daya yang berlaku.

Katanya, faktor itu mungkin menyebabkan penduduk setempat di selat itu beralih kepada aktiviti rompakan laut dan jenayah kecil untuk menampung kehidupan.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Penyelidikan) ReCAAP, Lee Yin Mui mengakui usaha menangkap penjenayah adalah sukar terutamanya di atas kapal lebih besar, di mana penjenayah biasanya datang dari atas kapal, mengambil apa sahaja yang mereka boleh dan melarikan diri.

Ujarnya, dalam 38 kejadian di Selat Singapura pada separuh pertama 2023 hanya satu tangkapan dibuat.

Kebanyakan kes rompakan bersenjata di Selat Singapura berlaku pada waktu malam, melibatkan empat hingga enam penjenayah lelaki yang menyasarkan kapal besar bagi mencuri alat ganti enjin, bekalan kapal dan besi buruk. - Agensi