Kemboja tetapkan pilihan raya umum pada Ahad

Pegawai pilihan raya umum menyediakan poster informasi di sebuah pusat mengundi di Phnom Penh. - AFP
Pegawai pilihan raya umum menyediakan poster informasi di sebuah pusat mengundi di Phnom Penh. - AFP
A
A
A

ISTANBUL - Kira-kira 9.7 juta rakyat Kemboja akan melaksanakan tanggungjawab mereka mengundi dalam pilihan raya umum pada Ahad.

Raja Norodom Sihamoni membuat gesaan pada Jumaat supaya orang ramai "melaksanakan hak mereka untuk mengundi terhadap mana-mana calon, mana-mana parti politik secara bebas."

Baginda menegaskan pilihan raya umum ini akan menjadi "pilihan raya yang bebas, adil, saksama dan rahsia, selaras dengan prinsip demokrasi liberal berbilang parti," lapor Agensi Anadolu memetik akhbar harian Khmer Times, yang berpangkalan di Phnom Penh.

Sebanyak 18 parti politik akan bersaing merebut 125 kerusi dalam pilihan raya yang diadakan setiap lima tahun.

Hun Manet, anak kepada Perdana Menteri Hun Sen dan pemimpin Parti Rakyat Kemboja (CPP) yang memerintah, berucap kepada sekitar 60,000 penyokong parti pada Jumaat semasa berkempen di Phnom Penh.

"CPP mempunyai keupayaan untuk memimpin negara ke arah kemajuan, terutamanya dalam mengekalkan kestabilan politik, keamanan, dan pembangunan. CPP sentiasa memperhalusi dasar-dasarnya untuk memenuhi keperluan kemajuan di Kemboja," katanya.

Parti itu telah mengunjurkan anaknya Hun Manet sebagai calon untuk jawatan ketua kerajaan.

Manet, memiliki kelulusan Akademi Tentera AS, telah berkhidmat sebagai komander Tentera Diraja Kemboja sejak 2018.

Sen, 70, bekas timbalan komander batalion Khmer Rouge, telah memerintah Kemboja selama 38 tahun.

CPP pimpinan Sen kini memegang semua kerusi di Parlimen.

Suruhanjaya pilihan raya meluluskan penyertaan 18 parti politik dalam pilihan raya kali ini, termasuk CPP yang memerintah.

Bagaimanapun, kumpulan pembangkang utama, Parti Candlelight dihalang daripada mengambil bahagian dalam pilihan raya akan datang susulan isu berkaitan kertas kerja. - Bernama-Anadolu