BN pertaruh calon 'heavyweight', status Tengku Zafrul masih samar-samar

Ahmad Zahid bersama Mohamad bergambar bersama ahli-ahli parti pada Majlis Pengumuman Calon BN bagi Pilihan Raya Negeri ke-15 di Dewan Tun Hussein Onn Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. - Foto Bernama
Ahmad Zahid bersama Mohamad bergambar bersama ahli-ahli parti pada Majlis Pengumuman Calon BN bagi Pilihan Raya Negeri ke-15 di Dewan Tun Hussein Onn Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. - Foto Bernama
A
A
A

BAHANG pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri mula dirasai apabila Barisan Nasional (BN) menjadi parti pertama mengumumkan barisan calon yang akan bertanding di enam negeri 12 Ogos ini.

Mempertaruhkan empat bekas Menteri Besar, mereka diharap mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi.

Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman masing-masing diumumkan calon DUN Kijal dan Seberang Takir.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan diamanah untuk mempertahankan DUN Rantau, manakala bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid diumum sebagai calon BN di DUN Pedu.

Selain mereka, terdapat 104 lagi calon yang diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjadikan jumlah DUN yang ditandingi BN sebanyak 107 daripada 245 kerusi yang dipertandingkan.

Pengumuman tersebut menyaksikan BN menampilkan calon daripada UMNO berikutan parti komponennya iaitu MIC dan MCA mengambil keputusan untuk tidak bertanding.

Di sebalik keterujaan BN mengumumkan barisan calon, nama Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon DUN Sungai Kandis, tidak diumum sekali gus menjawab spekulasi bahawa beliau tidak bertanding pada PRN Selangor.

Namun Mohamad ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan memberitahu, kemungkinan perubahan pencalonan boleh berlaku, namun ia bergantung kepada Badan Perhubungan UMNO Selangor.

Oleh yang demikian masih belum dapat dipastikan sama ada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu bertanding atau tidak, sehingga hari penamaan calon 29 Julai ini.

Walaupun Tengku Zafrul mengakui akur apabila namanya tidak tersenarai, beliau tetap menyatakan komitmen untuk membantu calon Kerajaan Perpaduan yang akan bertanding.

Semangat ini yang perlu dicontohi, mendahului kepentingan parti berbanding keinginan individu.

ARTIKEL BERKAITAN:

BN umum 107 calon tanding PRN enam negeri

PRN: BN hanya bertanding 12 kerusi di Selangor

PRN: Nor Hafizah sekali lagi diberi kepercayaan tanding

PRN: Tengku Zafrul akur keputusan pucuk pimpinan

PRN: BN pertaruh semula Tok Mat, Reezal Merican

PRN: Isteri, anak Isa Samad calon BN di Juasseh, Bagan Pinang

Nama Tengku Zafrul tak disenarai UMNO Selangor - Tok Mat

PRN: Bekas Timbalan Menteri tanding DUN Ajil

PRN: Dua bekas Menteri Besar Terengganu pertahan kerusi DUN