Pesawah puas hati baja silikon formula Nafas

Abd Halim (kiri) melihat baja yang sudah dibungkus untuk diedarkan kepada pesawah. - Foto Bernama
Abd Halim (kiri) melihat baja yang sudah dibungkus untuk diedarkan kepada pesawah. - Foto Bernama
A
A
A
YAN - Pesawah dari Kampung Ulu Dulang Kechil dekat sini yang menggunakan baja silikon sebagai percubaan untuk baja subsidi inisiatif Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) di Gurun berpuas hati dengan kualiti biji padi mereka selepas penggunaan baja itu.

Yusof Kadir, 46, berkata dia mendapati hasil kutipan padinya meningkat antara 30 hingga 40 peratus berbanding sebelum ini setelah mengguna pakai baja silikon terhadap tanaman padinya itu.

“(Hasil) meningkat daripada guna baja (subsidi) lama...daripada segi ketahanan pokok (padi), kurang penyakit dan saya sangat berpuas hati dan rasa suka menggunakan baja silikon ini sebab menguntungkan kami,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Yusof yang memiliki sawah seluas 10 relung di kampung itu berkata selain itu, kos untuk penggunaan racun serangga perosak juga berkurangan kerana racun berkenaan sudah tidak banyak digunakan untuk menghadapi serangan serangga terhadap pokok padinya.

Berkongsi pendapat sama, seorang lagi pesawah Sulaiman Daud, 54, berkata dia gembira dengan hasil tanaman padinya seluas 18 relung apabila kutipan padinya meningkat sehingga pernah mencecah 2.3 tan metrik bagi serelung sawah.

“Malah kualiti padi lebih elok...nak jaga pun mudah. Pokok padi tak mudah rebah, daun pokok padi itu lebih tebal dan keras,” katanya.

Sementara itu, Adrolsham Ahmad, 38, yang mempunyai sawah berkeluasan 20 relung pula berkata hasil kutipan padinya pernah meningkat sehingga 2.1 tan metrik kerana penggunaan baja silikon itu amat bagus apabila pokok padinya mampu bertahan daripada serangan penyakit.

“Pokok padi saya kuning elok, kurang hijau. Kiranya saya berpuas hati dengan baja silikon Nafas ini,” katanya.

Sehubungan itu, ketiga-ketiga mereka mengharapkan kerajaan dapat mempertimbangkan supaya membenarkan penggunaan baja silikon formula baharu Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menerusi anak syarikatnya itu secara meluas untuk pesawah di negara ini.
Artikel Berkaitan:


Semalam, Bernama melaporkan Nafas menerusi kilang bajanya MNFSB itu mengorak langkah ke depan merancang untuk menghasilkan baja silikon bagi pembekalan baja subsidi untuk kegunaan pesawah di negara ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MNFSB Abd Halim Hamzah dipetik sebagai berkata Nafas membuat satu kajian secara terperinci dan saintifik dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) supaya formulasi baja silikon itu dapat diketengahkan dalam pembekalan baja subsidi itu. - Bernama