Larang guna plastik dua hari seminggu di Selangor masih dikaji

Loy Sian
Loy Sian
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor masih mencari waktu sesuai untuk melaksanakan larangan penuh atau 'totally ban' penggunaan plastik, dua hari seminggu.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, menerusi program itu, pasar raya tidak akan membekalkan beg plastik dan pengguna perlu membawa beg sendiri.

Menurutnya, cadangan itu dalam usaha mengurangkan kebergantungan pengguna terhadap penggunaan beg plastik.

"Kita akan pilih dua hari seminggu untuk 'totally ban' beg plastik dan pengguna perlu bawa beg sendiri.

"Bagaimanapun, kita belum tetapkan masa pelaksanaan tersebut dan akan bincang ke arah itu," katanya mengulas larangan penggunaan beg plastik di Selangor.

Ketika ini, pasar raya di Selangor tidak lagi membekalkan plastik percuma sebaliknya pelanggan dikenakan caj 20 sen bagi mendapatkan kemudahan tersebut.

Beliau berkata, Selangor menyasarkan membuat larangan penuh beg plastik menjelang 2025 namun tiada sebarang keputusan dibuat mengenainya setakat ini.

"Selangor target untuk 'totally ban' penggunaan beg plastik pada 2025 sekiranya ada bahan gantian.

"Kita masih mencari bahan gantian yang lebih kurang sama dan lebih murah supaya tidak membebankan pengguna," katanya.

Dalam pada itu Loy Sian berkata, kutipan RM26 juta yang diperoleh hasil caj 20 sen beg plastik telah digunakan untuk program kesedaran alam sekitar.

"Antaranya bengkel dan program menjurus kelestarian alam sekitar seperti tanam pokok, bersihkan pantai dan sungai serta menaikkan lebih banyak tiang lampu solar di kawasan kampung, perkampungan Orang Asli serta sekolah.

"Kita juga akan perkenal konsep komuniti kebun dan ternakan ikan untuk bantu mengurangkan beban golongan B40," katanya.