MPSJ laksana sistem aplikasi pintar letak kereta

Sze Han (tengah) mencuba sistem aplikasi pintar letak kereta sambil diperhatikan Noraini (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran sistem itu di di Laman Kenanga Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), semalam.
Sze Han (tengah) mencuba sistem aplikasi pintar letak kereta sambil diperhatikan Noraini (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran sistem itu di di Laman Kenanga Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), semalam.
A
A
A

SUBANG JAYA - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melaksanakan sistem aplikasi pintar letak kereta ‘Smart Selangor Parking’ (SSP) dan ‘Parkbyphone’ (PBP) sebagai alternatif pembayaran di 44,639 petak parkir berbayar di kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, pengguna tidak perlu lagi tergesa-gesa membuat pembayaran letak kereta kerana sistem tersebut membolehkan mereka membuat pembayaran di mana-mana sahaja pada bila-bila masa.

“Aplikasi SSP adalah di bawah seliaan Smart Selangor Delivery Unit manakala aplikasi PBP disediakan oleh Kumpulan Godell Parking Sdn Bhd. Kedua-dua aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Google Play dan Apple App Store di telefon bimbit pengguna.

“Ia mempunyai pelbagai fungsi antaranya mengingatkan pengguna masa tamat tempoh letak kereta, membuat bayaran kompaun (sekiranya ada) secara terus di aplikasi tersebut serta semakan bayaran letak kereta sebelum pengeluaran kompaun oleh penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kedua-dua sistem pintar tersebut yang disempurnakan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han, semalam.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Godell Parking Sdn Bhd, Md Jaki Omar dan Pengarah Urusan, Smart Selangor Delivery Unit Dr. Mohammad Fahmi Ngah.

Noraini berkata, terminal pembayaran parkir tanpa tunai (cashless) akan disediakan di lokasi bagi memenuhi keperluan pengguna yang tidak mempunyai akses telefon pintar.

Tambahnya, pengguna masih boleh menggunakan kaedah pembayaran letak kereta menggunakan kupon gores letak kereta, mesin ‘Bayar dan Peraga’ (Mesin P&D) atau pas bulanan digunakan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu beliau memaklumkan MPSJ merupakan PBT ketujuh yang menggunakan sistem pintar tersebut selepas Majlis Bandaraya Petaling Jaya; Majlis Perbandaran Ampang Jaya; Majlis Bandaraya Shah Alam; Majlis Perbandaran Kajang; Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Sepang.

Caj letak kereta dikenakan berbeza bagi setiap PBT, MPSJ mengenakan caj sebanyak 50 sen bagi tempoh sejam, RM4 bagi tempoh sehari dan sebanyak RM80 caj bulanan.