'Saya tidak terima sebarang notis daripada Sanusi' - Saifuddin

Saifuddin Nasution. - Foto Bernama
Saifuddin Nasution. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan beliau tidak menerima sebarang notis tuntutan daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurutnya, tidak sukar untuk menghubunginya kerana beliau sentiasa bersedia, boleh dihubungi pada bila-bila masa malah tidak juga cuba untuk mengelak panggilan.

“Tak ada terima apa-apa lagi. Tak ada...dia kat Kedah saya di sini. Saya biasa boleh dihubungi bila-bila masa. Saya tak elak...Itu bezanya.

“Jadi tak terima apa-apa lagi saya di Kedah. Banyak hari di Kedah, malam ini di Kedah. Saya boleh didekati dengan mudah.

“Saya tak payah didekati sehingga 3 pagi, kalau sayalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Hari Imigresen 2023 di Putrajaya pada Jumaat.

Muhammad Sanusi ketika berucap pada Himpunan Munajat Perdana di Sik pada Khamis, memberitahu pihaknya sudah menghantar notis tuntutan kepada Saifuddin kerana didakwa memfitnahnya.

Muhammad Sanusi mengemukakan notis tuntutan terhadap Saifuddin supaya Menteri Dalam Negeri itu memohon maaf dalam tempoh tujuh hari kerana didakwa menfitnah beliau berhubung kegiatan mencuri unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Muhammad Sanusi turut menuntut Saifuddin membayar ganti rugi munasabah berhubung kenyataan dakwaan fitnah tersebut yang mendakwa beliau menerima kompaun RM500,000 atas kesalahan mencuri unsur nadir bumi.

Tuntutan permohonan maaf itu dinyatakan dalam notis dihantar oleh Tetuan Tengku Amalin & Faizi, yang mewakili Muhammad Sanusi kepada Saifuddin, pada Khamis.

Tengku Amalin berkata, anak guamnya turut menuntut dalam tempoh tujuh hari agar Saifuddin mengeluarkan aku janji bertulis untuk berhenti daripada mengulangi mana-mana dakwaan seperti yang pernah dilakukan sebelum ini. - Awani