'Surat kepada RoS bukan mohon batal pemilihan' - Saifuddin

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

PUTRAJAYA - Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan kenyataan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkaitan pembatalan keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada tahun lepas.

Menurutnya, parti itu menerima surat tunjuk sebab daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan ia berkaitan aduan ahli parti, bukannya untuk membatalkan keputusan pemilihan parti.

Tegasnya, RoS memberi tempoh dua minggu kepada PKR untuk menjawab surat tersebut supaya parti tidak dibatalkan.

Tambah beliau, sebagai Setiausaha Agung pada waktu itu, sekiranya beliau mahu parti terbatal, tidak perlu untuknya membalas surat berkenaan dan parti akan terbatal dengan sendirinya.

“Kalau tak jawab, parti batal. Tak payah jumpa menteri. Itu ceritanya. Bila setiausaha agung jawab surat bermaksud beri sebab, alasan kenapa parti tak patut diharamkan.

“Kita senaraikan satu-satu perkara yang telah disebut RoS kepada parti.

“Kalau nak dikatakan saya kalah kepada Rafizi kemudian minta parti batal...saya tak payah jawab surat, saya diam.

“Maknanya parti beri tanggungjawab. RoS bagi tempoh dalam dua minggu. Hakikatnya saya jawab surat kepada RoS,” katanya.

Katanya lagi, dakwaan Hamzah bahawa beliau pernah merayu untuk batalkan keputusan pemilihan PKR selepas tewas kepada Rafizi Ramli hanyalah kenyataan politik.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Hari Imigresen 2023 di Putrajaya pada Jumaat.

Saifuddin turut mendedahkan kerap bertemu dengan Hamzah kerana beliau juga adalah Pengerusi Bersama Jawatankuasa Antara Kerajaan dan Pembangkang dan pertemuan itu bukannya sesuatu yang luar biasa.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional itu sebelum ini mendedahkan, Saifuddin pernah merayu kepada beliau untuk membatalkan keputusan pemilihan PKR pada 2022 selepas tewas kepada Rafizi.

Hamzah berkata, pemimpin PKR itu ada berjumpa dengannya selepas seminggu kalah dalam saingan merebut jawatan nombor dua parti ketika pemilihan itu.

Ketika itu, katanya, beliau menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Dalam Negeri dan Saifuddin menghantar surat untuk memohon supaya keputusan pemilihan PKR dibatalkan. - Awani