Hamzah dakwa Saifuddin pernah rayu batalkan keputusan pemilihan PKR

Hamzah
Hamzah
A
A
A

SIK - Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pernah merayu kepada beliau untuk membatalkan keputusan pemilihan PKR pada 2022 selepas tewas kepada Rafizi Ramli.

Hamzah berkata, Saifuddin berjumpa dengannya selepas seminggu tewas dalam saingan merebut jawatan nombor dua parti itu dalam pemilihan tersebut.

Menurutnya, ketika itu, beliau menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Dalam Negeri apabila Saifuddin menghantar surat memohon supaya keputusan pemilihan PKR dibatalkan.

"Saifuddin jangan lupa, selepas seminggu kamu kalah, kamu jumpa saya hantar surat tolong batalkan pemilihan PKR. Surat itu ada pada saya,” katanya sambil menunjukkan surat berkenaan kepada hadirin yang hadir dalam ceramah ‘Taujihat Pimpinan: munajat perdana mohon keamanan dan menentang kezaliman’ di Dewan Al-Hana, Sik pada malam Khamis.

Dalam pemilihan PKR pada 2022, Saifuddin gagal mempertahankan kedudukan sebagai Timbalan Presiden parti itu selepas tewas kepada Rafizi.

Dalam pada itu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut menyifatkan penahanan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor pada 3 pagi bertentangan dengan konsep Malaysia Madani.

“Tamadun apa? pi tangkap 3 pagi, sepatutnya habaq (beritahu) Muhammad Sanusi nak jumpa sat (kejap) saja, saya dulu pun bekas Menteri Dalam Negeri.

"Jangan main-main, sekarang saya nak kata (bangkitkan) kerana adik saya (Muhammad Sanusi) ditangkap awal pagi. Lawan tetap lawan, itulah perjuangan kita yang sama dan adil," katanya lagi.

Hamzah yang juga Ketua Pembangkang tegaskan, dasar Perikatan Nasional (PN) akan sentiasa memastikan selain mempertahankan institusi diraja.

"Muhammad Sanusi tidak kacau institusi diraja, yang dia kacau cuma Saifuddin, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli," katanya.