Pelajar sesak nafas, JPN Pulau Pinang jalankan siasatan rapi

Seramai 13 pelajar SMK Bayan Lepas mengalami sesak nafas ketika menjalani ujikaji makmal semalam.
Seramai 13 pelajar SMK Bayan Lepas mengalami sesak nafas ketika menjalani ujikaji makmal semalam.
A
A
A

GEORGETOWN- Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan rapi berhubung kejadian sekumpulan pelajar yang mengalami sesak nafas ketika menjalankan ujikaji di makmal semalam.

Dalam satu kenyataan Kementerian Pendidikan, siasatan rapi itu bagi mengenal pasti punca kejadian.

Menurut kenyataan itu, sekolah berkenaan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) untuk dipatuhi apabila uji kaji makmal dijalankan.

"JPN Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan rapi berhubung kes sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bayan Lepas yang mengalami sesak nafas dalam kejadian pagi semalam.

"Pihak sekolah mempunyai SOP yang perlu dipatuhi setiap kali uji kaji makmal dijalankan. Oleh itu siasatan yang dibuat bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya hari ini.

Dalam kejadian semalam, 19 pelajar dengan bantuan guru sedang menjalani uji kaji makmal untuk proses pemanasan hablur iodin dalam subjek Kimia.

Seramai 13 daripadanya mengalami sesak nafas selepas terhidu gas iodin dan seorang daripada mereka dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

Menurut bomba, semua mangsa diberi pengawasan dan bantuan oksigen oleh pasukan perubatan.

Artikel Berkaitan:

Pasukan bomba turut melakukan kerja pengudaraan bagi membantu mengeluarkan wap cecair iodin berkenaan.

Dipercayai punca kejadian adalah kerana proses pemanasan cecair iodin tersebut dilakukan di dalam makmal yang tidak mempunyai aliran pengudaraan yang baik.

Bagaimanapun, tiada bahan kimia yang berbahaya dan kejadian itu tidak membabitkan pencemaran bahan berbahaya.

ARTIKEL BERKAITAN: 13 pelajar sesak nafas selepas ujikaji makmal