Suhu panas melampau landa kem pelarian di Syria

Seorang lelaki menuangkan air ke atas anaknya di dalam khemah mereka di kem Haranbush di wilayah Idlib pada Rabu. - Foto Mohammed Al-Rifai/ AFP
Seorang lelaki menuangkan air ke atas anaknya di dalam khemah mereka di kem Haranbush di wilayah Idlib pada Rabu. - Foto Mohammed Al-Rifai/ AFP
A
A
A

BEIRUT - Gelombang haba yang mencengkam kawasan di utara dan barat laut Syria telah mencetuskan beberapa kejadian kebakaran, selain meragut nyawa dan mencederakan penduduk, termasuk kanak-kanak, menurut kumpulan pertahanan awam White Helmets pada Rabu.

Menurut White Helmets, kebakaran membahayakan nyawa kanak-kanak dan warga emas yang tinggal di kem pelarian.

Ketua White Helmets, Raed Saleh berkata, setakat bulan ini, kebakaran telah mengakibatkan kematian tiga kanak-kanak dan dua lagi cedera.

"Jumlah kebakaran meningkat pada bulan Julai di kawasan luar bandar Idlib dan Aleppo,” katanya kepada Agensi Berita Jerman (dpa).

Beliau berkata setakat Julai ini, pasukan itu telah mengendalikan lebih 280 kes kebakaran.

"Kira-kira 120 kebakaran berlaku di kawasan pertanian, 53 di rumah penduk tempatan dan 16 di kem pelarian," katanya.

Ketua kem pelarian di Maaret Masreen dekat Idlib di barat laut Syria, Abdel Salam Mohammed berkata, suhu tinggi telah menjejaskan kanak-kanak dan warga emas.

"Kebanyakan khemah kami tidak mempunyai sistem pengasingan untuk melindungi daripada haba pada musim panas atau sejuk pada musim sejuk,” katanya.

Suhu kini berada pada paras 36 darjah Celsius, dengan suhu di wilayah sekitar Idlib dijangka meningkat kepada lebih 40 darjah menjelang hujung minggu. - Bernama/dpa