Kumpulkan perabot, alat elektrik terpakai

Amiruddin (kanan) bersama-sama ahli persatuan menunjukkan sebahagian peralatan elektrik dan perabot yang disumbangkan untuk diberikan kepada asnaf di sekitar Lembah Kinta.
Amiruddin (kanan) bersama-sama ahli persatuan menunjukkan sebahagian peralatan elektrik dan perabot yang disumbangkan untuk diberikan kepada asnaf di sekitar Lembah Kinta.
A
A
A

IPOH - Persatuan Budak Bus Stand Ipoh melancarkan Kempen Perabot Ramadan Jom Hias Rumah Asnaf bagi membantu golongan memerlukan.

Presidennya, Amiruddin Mohd Daud berkata, program itu sudah dilaksanakan lebih empat tahun yang lalu dengan mengumpul perabot dan peralatan elektrik terpakai untuk diserahkan kepada golongan asnaf di sekitar Lembah Kinta.

Beliau berkata, inisiatif ini dibuat setelah melihat ada rumah-rumah golongan asnaf tidak berkemampuan membeli perabot dan ada peralatan elektrik yang rosak.

"Setiap kali menjelang raya, ada dalam kalangan kita yang nak tukar perabot baharu. Kadang-kadang perabot lama yang masih elok dibuang macam itu saja.

"Jadi, kami memikirkan lebih baik perabot itu diberikan kepada yang memerlukan sekurang-kurangnya mereka merasa guna perabot baharu walaupun terpakai. "Biasanya kita akan ambil sendiri perabot-perabot yang nak disumbangkan dan kita hantar sendiri ke rumah-rumah asnaf terpilih.

"Setakat ini ada yang dah bagi peti ais, mesin basuh, almari, kipas, tilam dan macam-macam lagi," katanya kepada Sinar Harian.

Amiruddin berkata, pihaknya akan memilih perabot yang ingin disumbangkan itu terlebih dahulu sebelum menyerahkan kepada asnaf bagi memastikan peralatan itu masih dalam keadaan baik.

Katanya, penyumbang boleh juga menghantar ke Rumah BigBro di No 65, Jalan Hassan, Lim Garden, di sini untuk dikumpulkan.

Artikel Berkaitan:

"Mana-mana perabot yang masih elok dan tak perlu baik pulih kita akan terus hantar dan kita juga tak kenakan apa-apa bayaran.

"Cuma kita harap bagi yang nak menyumbang itu biarlah barang-barang itu masih elok dan boleh guna. Kalau tak boleh nak guna memang kami tak akan ambil," katanya.

Dalam pada itu, Amiruddin turut mengalu-alukan jika ada pihak yang ingin menyumbang langsir terpakai kerana setakat ini tiada pihak berbuat demikian.

Bagaimanapun pihaknya tidak menggalakkan orang ramai menyumbang pakaian terpakai kerana fokus mereka adalah perabot dan peralatan elektrik.

Katanya, pada tahun lalu, sebanyak 28 rumah di sekitar Kampar, Simpang Pulai, Manjoi dan Batu Gajah mendapat manfaat daripada program ini.

Beliau berkata, orang ramai yang ingin menyumbang boleh terus menghubunginya di talian 0195900077 atau terus ke rumah BigBro.