Cyprus lapor kematian pertama akibat strok haba

Perkhidmatan meteorologi meramalkan cuaca panas melampau itu akan berterusan sekurang-kurangnya seminggu lagi. - Gambar hiasan
Perkhidmatan meteorologi meramalkan cuaca panas melampau itu akan berterusan sekurang-kurangnya seminggu lagi. - Gambar hiasan
A
A
A

NICOSIA - Pihak berkuasa perubatan Cyprus pada Ahad melaporkan kematian pertama akibat strok haba tahun ini ketika gelombang haba Sahara berterusan untuk hari keempat.

Perkhidmatan meteorologi juga meramalkan cuaca panas melampau itu akan berterusan sekurang-kurangnya seminggu lagi.

Jurucakap Pertubuhan Perkhidmatan Kesihatan negeri, Charalambos Charilaou berkata kematian itu berkaitan dengan seorang lelaki berusia 90 tahun yang rebah di sebuah rumah jagaan.

Charilaou berkata, dua lagi individu berumur 77 dan 78 tahun turut dibawa ke hospital selepas mengalami simptom seperti strok haba.

Gelombang haba yang berasal dari Sahara lebih lapan hari lalu melanda negara-negara Eropah selama seminggu.

Cyprus merekodkan suhu melebihi 40 darjah Celsius sejak beberapa hari lalu, dengan suhu biasa untuk musim ini ialah kira-kira 38 darjah Celsius.

Jabatan Meteorologi Cyprus melaporkan suhu 45 darjah Celsius pada Jumaat dan mengeluarkan tiga amaran jingga berturut-turut yang terakhir berakhir lewat Ahad, selepas suhu berterusan pada 43 darjah Celsius.

Amaran jingga ialah amaran kedua tertinggi bagi sistem amaran tiga peringkat yang digunakan oleh pihak berkuasa untuk mengawal selia kerja di luar semasa waktu panas.

Pengarah Jabatan Meteorologi Kleanthis Nicolaides berkata suhu lebih rendah sekitar 42 darjah Celsius diramalkan untuk beberapa hari akan datang. - Bernama