Import gula bukan kerana bekalan kurang

Salahuddin ditemui media selepas melancarkan Inisiatif Payung Rahmah Bersama Zero Healthcare Sdn Bhd, hari ini. - Foto Bernama
Salahuddin ditemui media selepas melancarkan Inisiatif Payung Rahmah Bersama Zero Healthcare Sdn Bhd, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan kerajaan memberi kelulusan kepada 37 syarikat untuk mengimport 285,700 tan metrik bekalan gula putih bertapis sepanjang tahun ini, tidak seharusnya dijadikan isu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, bekalan gula bagi pasaran tempatan ketika ini tidak bermasalah, malah mencukupi untuk keperluan industri serta domestik.

Menurutnya, kelulusan tersebut merupakan satu langkah proaktif bagi memastikan kestabilan bekalan gula dengan memudah cara proses kelulusan permit import (AP) gula putih bertapis.

"Setakat ini harga gula pasir dua jenis untuk rakyat iaitu gula kasar dan halus masih lagi dijual dengan harga yang rendah iaitu RM2.85 sekilogram (gula kasar) dan RM2.95 sekilogram (gula halus).

"KPDN juga komited membantu MSM Malaysia Holdings Bhd dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) supaya apa juga kesulitan yang dihadapi seperti keperluan tenaga pekerja dapat diatasi agar tidak mengganggu pengeluaran gula," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Inisiatif Rahmah bersama Zero Healthcare Sdn Bhd di sini pada Sabtu.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Pulai itu berkata, KPDN serius terhadap isu kekurangan bekalan gula yang didakwa berlaku di sekitar daerah Limbang, Sarawak.

Bagaimanapun katanya, setakat ini, KPDN masih belum menerima sebarang laporan mengenai isu tersebut.

"Setakat ini, tidak ada krisis besar namun saya juga akui kadang-kadang terdapat kekurangan bekalan gula di beberapa lokasi.

"Sekiranya berlaku kekurangan gula, contohnya di Limbang, Johor Bahru atau Alor Setar, maka terus laporkan kepada KPND. Dalam masa beberapa jam sahaja KPDN akan cuba sediakan bekalan," katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, inisiatif Payung Rahmah yang diperkenalkan di bawah Kerajaan Perpaduan pada April lalu, telah memberi manfaat kepada lebih sejuta rakyat.

Katanya, inisiatif berkenaan mula mendapat sambutan daripada pihak swasta dan industri meskipun ia bermula secara kecil-kecilan.

"Satu berita gembira, KPDN mengenal pasti hampir 1 juta 100 penerima ataupun rakyat yang mendapat manfaat daripada inisiatif Payung Rahmah sejak April lalu hingga semalam.

"Saya percaya bahawa kita sedang ke arah untuk menyediakan Pelan Ekonomi Rahmah dengan beberapa industri nampaknya terus-menerus memberikan sokongan terhadap inisiatif Payung Rahmah.

"Pelan ini melengkapi inisiatif Payung Rahmah yang dijangka akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal Ogos depan," katanya.