Menteri Luar Turkiye adakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia

Hakan Fidan dijadual melawat Malaysia pada 15 hingga 16 Julai. - Foto AP
Hakan Fidan dijadual melawat Malaysia pada 15 hingga 16 Julai. - Foto AP
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menerima kunjungan rasmi dari Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan selama dua hari bermula Rabu hingga Khamis ini.

Menurut Kementerian Luar (Wisma Putra), lawatan itu dijangka membincangkan pelbagai isu melibatkan kerjasama di antara kedua-dua buah negara selaras dengan peningkatan taraf hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Julai 2022.

Menurutnya, agenda utama perbincangan adalah merangkumi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan serta sains dan teknologi.

“Lawatan ini merupakan lawatan pertama Hakan Fidan ke Malaysia selepas dilantik sebagai Menteri Luar Turkiye pada 3 Jun 2023,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataannya pada Sabtu.

Tambah Wisma Putra, kedua-dua menteri juga akan bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk perkara melibatkan umat Islam.

Semasa lawatan itu, menurutnya, Hakan juga dijadual akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebagai info, Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan keenam import terbesar dari rantau Asia Barat.

Pada tahun 2022, menurut Wisma Putra, jumlah dagangan Malaysia dengan Turkiye meningkat sebanyak 12.6 peratus kepada RM20.25 bilion (AS$4.62 bilion) dari RM17 bilion (AS$4.10 bilion) pada tahun sebelumnya.