Tujuh maut, tiga hilang susulan hujan lebat di Korea Selatan

Kediaman penduduk di bandar Cheongju, Korea Selatan dinaiki air susulan hujan lebat pada Ahad - Foto: EPA
Kediaman penduduk di bandar Cheongju, Korea Selatan dinaiki air susulan hujan lebat pada Ahad - Foto: EPA
A
A
A

SEOUL - Hujan lebat mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang dan menyebabkan beribu-ribu orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka di seluruh negara, lapor agensi berita Yonhap memetik pihak berkuasa Sabtu.

Ibu Pejabat Tindakan Bencana dan Keselamatan Pusat memaklumkan tiga orang masih hilang manakala tujuh lagi cedera.

Dua orang maut akibat bangunan runtuh yang dicetuskan oleh tanah runtuh di Nonsan, Wilayah Chungcheong Selatan, pada Jumaat. Seorang maut dalam banjir lumpur di bandar Sejong dan perumahan yang runtuh mengorbankan tiga orang di daerah tenggara Yeongju dan daerah tengah Cheongyang.

Dua orang, termasuk seorang wanita berusia 60-an, dikhuatiri terbunuh apabila kejadian tanah runtuh memusnahkan sebuah rumah di Bonghwa, Wilayah Gyeongsang Utara, kira-kira 9 pagi.

Kira-kira 6,400 penduduk di daerah tengah Goesan telah dipindahkan apabila Empangan Goesan mula melimpah sekitar jam 6:30 pagi.

Banyak kampung berhampiran empangan itu ditenggelami air, dan jalan raya serta jambatan yang menghubungkan kampung-kampung itu terputus, menyebabkan beberapa penduduk terperangkap di dalam rumah mereka.

Korea Railroad Corp (KORAIL) menggantung semua perkhidmatan kereta api KTX yang merentasi wilayah pedalaman tengah negara akibat hujan lebat.

Perdana Menteri Han Duck Soo pada hari Sabtu mengarahkan pegawai supaya segera memindahkan orang ramai di kawasan yang terdedah untuk meminimumkan kemalangan jiwa, dan melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan orang ramai di kawasan terjejas. - Bernama