Tanding di DUN Rantau: Tok Mat buat keputusan sebelum 29 Julai

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

REMBAU - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan yang beliau ada menghantar beberapa nama calon lain untuk dipertimbangkan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bagaimanapun katanya, kesemua mereka menolak dan ia membuatkan beliau sukar untuk membuat keputusan.

"Saya akan buat keputusan sewajarnya sebelum 29 Julai (hari penamaan calon). Tapi setakat ini tiada siapa yang mahu.

"Saya nak tonjolkan beberapa muka, tapi mereka sendiri yang tolak. Jadi susah jugalah saya nak buat keputusan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival Kerjaya Belia Parlimen Rembau di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian menjawab sama ada akan mempertahankan kerusi DUN Rantau atau sebaliknya.

Mohamad yang merupakan Timbalan Presiden UMNO juga tidak menolak untuk bertanding di situ kerana ramai pengundi DUN berkenaan masih mengharapkan beliau mewakili mereka.

"Tapi yang sahnya tunggu sampai 29 Julai ini. Tapi setakat hari ini, calon-calon yang kita tonjolkan semua menolak dan kebanyakan rakyat atau pengundi DUN Rantau juga mahu saya wakili mereka.

"Mereka ini (pengundi DUN Rantau) semua manja dengan saya," katanya secara berseloroh.

Pada PRU14, Mohamad menang tanpa bertanding selepas Dr Streram gagal menyerahkan borang pencalonan pada 5 Mei 2018.

Dr Streram merangkap Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau kemudian memfailkan petisyen pada 23 Mei 2018 untuk membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagaimanapun Mohamad secara rasmi mengekalkan kedudukannya selepas menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram dengan majoriti 4,510 undi.

Dalam persaingan empat penjuru itu, Mohamad memperoleh 10,397 undi manakala Streram 5,887 undi.