Op Cantas: Samseng kudung antara 199 ahli kongsi gelap ditahan

Kamarul Zaman (kanan) bersama sebahagian daripada kenderaan mewah yang dirampas dalam salah satu operasi baru-baru ini.
Kamarul Zaman (kanan) bersama sebahagian daripada kenderaan mewah yang dirampas dalam salah satu operasi baru-baru ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang samseng kudung akibat pergaduhan di Jalan Seri Perkasa 2, Jalan Tampoi Utama, Skudai 3 Julai lalu merupakan antara 199 ahli kongsi gelap yang berjaya ditahan dalam Op Cantas, Polis Kontinjen Johor sepanjang 2020 hingga Jun 2023 lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua ahli kongsi gelap yang diambil tindakan di bawah Akta Pertubuhan 1966 itu melibatkan Geng 21, Geng 04, Geng 36, Geng 24, Geng Jit It Hai, Geng Hong Hong San dan Geng Hup Hoe Tong yang aktif dalam jenayah pemerasan, ugutan jenayah, samun berkumpulan, mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata serta merusuh.

"Polis sentiasa memandang serius berkaitan kes-kes melibatkan kongsi gelap dan ini terbukti dengan tindakan yang telah diambil sebelum ini.

"Orang ramai diminta membantu pihak polis dengan menyalurkan maklumat kegiatan kongsi gelap di mana tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain insiden pergaduhan di Jalan Seri Perkasa 2, Jalan Tampoi Utama, Skudai 3 Julai lalu, polis daripada Bahagian D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara turut memberkas empat lelaki tempatan yang merupakan ahli kongsi gelap Geng 04 dan Geng 08.

Jelasnya, kesemua suspek yang ditangkap berusia dalam lingkungan 19 hingga 43 tahun dan hasil semakan rekod salah seorang daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau dalam kes pemerasan dan mendatangkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata.

"Polis juga sedang giat mengesan tiga lagi suspek yang masih bebas dan telah menyenarai hitam dalam 'wanted list'. Siasatan mendapati punca pergaduhan adalah selisih faham semasa berhibur dalam sebuah premis hiburan di Tampoi.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 29 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," ujarnya.