UMNO tetap pertahan DUN Hulu Bernam

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

HULU SELANGOR - UMNO Hulu Selangor meluahkan rasa kesal dengan sikap terburu-buru Parti Amanah Negara (Amanah) yang mengumumkan bahawa kerusi Hulu Bernam bakal ditandingi parti itu.

Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohd Isa Abu Kasim berkata, Amanah tidak sepatutnya mengusik kerusi yang menjadi kubu kuat BN di Hulu Selangor.

Menurutnya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam diwakili UMNO sejak berpuluh tahun dan tidak pernah tewas dalam mana-mana pilihan raya antara sebab parti itu tetap mempertahankan kerusi tersebut.

"... Yang menjadi persoalan, mengapa Amanah negeri dan bahagian begitu terburu-buru membuat kenyataan demikian sedangkan kepimpinan tertinggi gabungan PH dan BN belum lagi membuat sebarang keputusan atau mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pertukaran DUN terbabit?

"Sebagai rakan gabungan dalam usaha membentuk kerajaan negeri, saya mohon Amanah atau mana-mana parti gabungan untuk menjaga adab dan saling menghormati demi kebaikan bersama," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

DUN Hulu Bernam kini disandang oleh Ketua Wanita UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Rosni Sohar selama dua penggal selepas menang pada PRU13 dan PRU14 lalu.

Pada Khamis, Ketua Pemuda Amanah Hulu Selangor, Abdul Mun'im Roslin mengumumkan Amanah akan menggantikan BN bertanding di DUN Hulu Bernam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 12 Ogos depan.

Abdul Mun'im berkata, pihaknya berterima kasih atas kepercayaan pimpinan Amanah peringkat negeri dan pusat serta BN khususnya UMNO dalam mencapai kata sepakat mengenai keputusan tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Isa berkata, kenyataan dibuat Abdul Mun'im telah memberi tamparan hebat buatnya sebagai pimpinan tertinggi UMNO bahagian berkenaan.

Ujarnya, sejak semalam beliau tidak putus-putus dihubungi oleh kepimpinan dan penyokong BN terutama di DUN terbabit bagi mengetahui gambaran sebenar kedudukan kerusi di DUN berkenaan.

"Selagi Badan Perhubungan UMNO Selangor dan kepimpinan PH-BN belum membuat keputusan atau memberi kata putus secara rasmi, kerusi DUN Hulu Bernam tetap milik BN.

"Selaku Ketua UMNO Bahagian, saya tetap mempertahankan kerusi DUN berkenaan kerana kerusi DUN terbabit yang diwakili UMNO sekalipun tidak pernah kalah dalam mana-mana pilihan raya," katanya.

Beliau turut memohon semua pimpinan BN termasuk UMNO dan penyokong tenang dalam menghadapi situasi menjelang PRN.