Status Hulu Bernam, Pemuda UMNO minta tunggu pengumuman rasmi

Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil Omar Al-Khattab
Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil Omar Al-Khattab
A
A
A

HULU SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Tindakan Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Hulu Selangor mengumumkan status kerusi Hulu Bernam pada Khamis disifatkan terlalu awal sehingga menimbulkan rasa kurang senang terhadap parti rakan khususnya UMNO bahagian itu.

Ketua Pemuda UMNO Hulu Selangor, Omar Al-Khattab Kasim berkata, sepatutnya semua pihak menunggu pengumuman rasmi supaya ahli-ahli parti dan pengundi menerima informasi jelas, sambil menyifatkan kenyataan awal oleh Ketua Pemuda Amanah Hulu Selangor, Abdul Mun'im Roslin itu boleh menimbulkan ketidakharmonian antara anggota parti bawah gabungan Kerajaan Perpaduan.

Apa yang penting katanya, semua pihak perlu bersabar dan memberikan ruang sehingga proses rundingan selesai memandangkan ketika ini masih terdapat beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di peringkat rundingan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

"Dalam konteks ini, penting bagi semua pihak untuk berhati-hati dan memastikan bahawa informasi yang disampaikan berkaitan dengan pembahagian kerusi adalah tepat, demi menjaga kepercayaan dan kesatuan antara mereka yang terlibat dalam proses politik di kawasan tersebut.

"Walaupun ura-ura rundingan dalaman telah menunjukkan bahawa kerusi tradisi BN di Hulu Bernam akan diberi laluan kepada PH (Amanah), tetapi pengumuman rasmi oleh Majlis Presiden belum diadakan," katanya pada Jumaat.

Abdul Mun'im pada Khamis mengumumkan Amanah akan menggantikan BN bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 12 Ogos depan.

Sehubungan itu, Abdul Mun'im berkata, pihaknya berterima kasih atas kepercayaan pimpinan Amanah peringkat negeri dan pusat serta BN khususnya UMNO dalam mencapai kata sepakat mengenai keputusan tersebut.

Dalam pada itu, Omar berkata, pihaknya meminta semua pihak menghindari pengumuman yang terlalu awal di media.

"Pengumuman awal yang belum diumumkan secara rasmi dapat mencetuskan kebingungan di kalangan anggota parti dan pengundi.

"Oleh kerana itu, penting bagi kita untuk menghormati proses rundingan yang sedang berlangsung dan menunggu pengumuman rasmi daripada pihak berwajib.

"Menjaga integriti dan kepercayaan di antara semua pihak yang terlibat dalam proses politik adalah kunci utama," katanya.