10 PATI termasuk bayi naik sampan masuk Malaysia

PATI yang ditahan selepas menyeberangi sungai Golok.
PATI yang ditahan selepas menyeberangi sungai Golok.
A
A
A

PASIR MAS - Seramai 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar dan Bangladesh termasuk seorang bayi perempuan ditahan di stesen bas Bandar Tasek Raja di sini pada Rabu selepas dipercayai masuk ke negara ini menerusi Sungai Golok dengan menaiki sampan.

Kesemua ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20-an hingga 40-an serta seorang bayi berusia dua tahun.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, penahanan dilakukan oleh sepasukan anggota polis pada jam 4.30 pagi.

Menurut beliau, pihak polis kemudian menjalankan pemeriksaan ke atas semua tangkapan terbabit.

“Mereka dipercayai tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di negara ini.

“Hasil soal siasat, mereka mengaku masuk ke Malaysia melalui sungai dengan menaiki sampan untuk mencari pekerjaan di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Khamis.

Ujar beliau, kesemua mereka ditahan reman selama 14 hari sehingga 25 Julai ini dan ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas.

“Perintah reman dibuat mengikut Seksyen 51 (3) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemasukan PATI atau aktiviti yang mencurigakan di sempadan negara boleh disalurkan kepada pihak polis.

“Salurkan maklumat ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di talian 09-7932222 atau di mana- mana balai yang berhampiran agar tindakan pencegahan dapat diambil,” ujar beliau.

Dalam pada itu, pasukan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen), Tentera Darah menahan seramai 11 PATI warganegara Thailand yang cuba masuk ke Malaysia menggunakan laluan yang tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand di sini.

Mereka yang terdiri daripada enam lelaki dan lima wanita yang berusia antara 16 hingga 35 tahun itu dipercayai memasuki negara secara haram dengan menyeberangi sungai Golok.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!