Gaji progresif: MTUC harap bukan sekadar mainan politik

Kamarul Baharin - Foto Bernama
Kamarul Baharin - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Hasrat kerajaan yang mahu melaksanakan gaji progresif diharap bukan sekadar mainan politik semata-mata.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, pelaksanaan tersebut perlu menjadi kenyataan demi menjamin hak golongan pekerja yang masih menerima gaji tidak setimpal walaupun sudah berusaha keras.

Sehubungan itu beliau menggesa kerajaan untuk campur tangan dalam memastikan pelaksanaan kenaikan gaji tahunan dan tidak membiarkan usaha itu ditentukan oleh kuasa pasaran.

"Kerajaan perlu masuk campur berkaitan dengan kenaikan tahunan kerana kedegilan dan ketamakan syarikat yang menghalang peningkatan gaji.

"Kuasa pasaran tidak boleh menentukan harga buruh kerana pekerja mempunyai tanggungjawab pada keluarga dan masyarakat. Pekerja bukan mesin atau komoditi yang boleh didagangkan.

"MTUC berharap gaji progresif menjadi kenyataan dan tidak sekadar mainan politik. Pekerja berkeyakinan yang Kerajaan Madani mempunyai ihsan kepada golongan pekerja yang berada dalam keadaan tertekan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Terdahulu Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan kementerian itu sedang menjalin kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dalam merangka beberapa pilihan dasar yang akan dibentang kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi membincangkan strategi terbaik untuk meningkatkan gaji rakyat

Dalam pada itu Kamarul Baharin berpandangan, keengganan majikan untuk melaksanakan gaji progresif sudah dijangka memandangkan mereka juga tidak menyokong pelaksanaan gaji minimum.

Oleh yang demikian beliau menegaskan, kerajaan perlu mencari kaedah luar biasa untuk memastikan gaji progresif dapat direalisasikan sekali gus memberi manfaat kepada golongan terbanyak dalam negara.

"Dasar gaji minimum yang bermula sejak 2013 tidak memerlukan majikan memberikan kenaikan tahunan kepada pekerja dan menyebabkan gaji pekerja statik serta tidak berubah hingga ada pekerja yang telah berkhidmat lebih 25 tahun masih menerima gaji RM1,500.

"Keadaan ini amat memeritkan pekerja yang berusaha keras untuk bekerja tetapi tidak setimpal dengan gaji yang dibayar," ujarnya.