Kementerian Ekonomi, KSM rangka dasar kenaikan gaji - Rafizi

Rafizi Ramli.
Rafizi Ramli.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Ekonomi sedang menjalin kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dalam merangka beberapa pilihan dasar untuk dibentang kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang akan membincangkan strategi terbaik bagi meningkatkan gaji rakyat.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, bagi tujuan itu, sesi libat urus dengan pemegang taruh utama iaitu kerajaan, majikan dan pekerja akan diadakan untuk mendapatkan pandangan semua pihak.

"Butiran dan mekanisme dasar akhir akan diputus berdasarkan pertimbangan menyeluruh termasuk kemampuan dan kesan kos kepada sektor swasta, pelaksanaan secara berperingkat dan persetujuan bersama tiga pihak antara kerajaan, majikan dan pekerja,” menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau mengulas kenyataan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) pada Khamis yang mendakwa perkara dasar berkaitan gaji adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia bukannya Kementerian Ekonomi.

Pada Ahad lepas, Rafizi berkata, sektor swasta diharap turut komited membantu kerajaan merealisasikan Dasar Gaji Progresif membabitkan sektor swasta dan awam bagi menangani kenaikan kos sara hidup yang antara lain bertujuan merapatkan jurang ketara antara pertumbuhan gaji dan kenaikan kos sara hidup.

Rafizi berkata, Kementerian Ekonomi sememangnya bertanggungjawab menguruskan perancangan ekonomi negara secara menyeluruh namun sementara usaha memperbaiki struktur ekonomi lain diteruskan, ia juga akan memberi penekanan kepada aspek kenaikan gaji pekerja yang adil kepada semua pihak.

Beliau berkata, gaji yang tidak setara dengan kos sara hidup adalah isu pokok yang menjadi penghalang kepada peralihan Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi manakala kebergantungan kepada pekerja berkemahiran rendah juga antara punca gaji yang tidak seimbang dengan nilai hasil pekerja di dalam ekonomi.

"Nisbah gaji pekerja (CE) Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar bagi tahun 2019 adalah 35.9 peratus, jauh lebih rendah daripada negara maju lain seperti Jerman (59.4 peratus), United Kingdom (55.5 peratus), Australia (46.9 peratus) dan Republik Korea (46.8 peratus).

"Kadar gaji penengah benar dan gaji kemasukan baharu telah merosot selepas pandemik dan kekal lebih rendah berbanding tahap sebelum pandemik,” katanya.

Rafizi juga berkata, mandat Kementerian Ekonomi ialah menyelesaikan isu struktur ekonomi yang boleh memperlahan pertumbuhan ekonomi negara seperti itu.

Katanya, pertumbuhan gaji juga antara fokus utama reformasi struktur untuk mencapai sasaran CE negara seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia ke-12. - Bernama