Tanam padi guna air masin masih di peringkat kajian

Mohd Sabu menyampaikan plak, trofi dan sijil kepada penerima Anugerah Agropreneur OKU, Rahim Yusoff,56, pada Majlis Anugerah Agropreneur Agrobank (AAA) 2022 di sebuah hotel pada Khamis. FOTO: SINAR HARIAN/ MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Mohd Sabu menyampaikan plak, trofi dan sijil kepada penerima Anugerah Agropreneur OKU, Rahim Yusoff,56, pada Majlis Anugerah Agropreneur Agrobank (AAA) 2022 di sebuah hotel pada Khamis. FOTO: SINAR HARIAN/ MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

PETALING JAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) masih di peringkat kajian untuk mengkomersialkan padi tahan air masin di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jika benih ini boleh dikomersialkan, pihaknya yakin banyak kawasan sawah yang mengalami masalah air masin boleh dibangunkan semula.

Menurutnya, benih padi jenis ini dijangka dapat meningkatkan lagi pengeluaran beras negara pada masa akan datang.

“Dua hari yang lalu saintis dari China telah datang menemui Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi membincangkan perkara ini.

“Kajian peringkat awal masih dijalankan oleh pihak MARDI dan masih dalam proses untuk mencari tanah yang sesuai sama ada di daerah Rompin, Pahang dan beberapa lokasi yang sesuai untuk penanaman padi dalam air masin itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir pada Majlis Anugerah Agropreneur Agrobank (AAA) 2022 di sebuah hotel pada Khamis.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, pandemik Covid-19, ketegangan geopolitik di Eropah, perubahan nilai tukaran wang serta perubahan iklim dunia telah memberikan impak ke atas kos pengeluaran sektor agro makanan dan ekonomi negara.

“Misalnya pada tahun lepas, negara kita mengalami isu kekurangan bekalan telur yang agak kritikal.

“Namun sekarang ini Alhamdulillah, melalui pelbagai inisiatif yang telah dijalankan oleh Kerajaan Madani, isu bekalan makanan seperti telur dan ayam di negara kita sudah semakin stabil,” katanya

Tambahnya, ekonomi negara juga semakin stabil dan meningkat dari hari ke hari.

Beliau berkata, antara usaha dijalankan untuk meningkatkan pengeluaran dan SSL beras tempatan adalah menambah baik Skim Sawah Berskala Besar (SBB) dengan memperkenalkan Program Mini Sekinchan di beberapa buah negeri.

“Saya sendiri telah melawat ke Indonesia untuk melihat kejayaan negara itu menghasilkan benih padi 75 hari dan telah meminta MARDI mengkaji benih ini.

"Sekiranya sesuai di tanam di negara ini, saya yakin ianya akan dapat merealisasikan sasaran lima kali tanaman dalam tempoh dua tahun.

“Insya-ALLAH dalam masa terdekat Perdana Menteri sendiri akan mengumumkan satu lagi projek mega kerajaan yang melibatkan peruntukan yang besar untuk meningkatkan pengeluaran padi negara,” ujarnya.