Pelajar terkejut terima hadiah RM1,000 daripada pengetua

Sabarudin meraikan kejayaan Nur Izah (kiri) dan Nur Haziqah Az-Zahra yang memperolehi keputusan cemerlang 4.00 dalam STPM 2022 yang diumum pada Khamis.
Sabarudin meraikan kejayaan Nur Izah (kiri) dan Nur Haziqah Az-Zahra yang memperolehi keputusan cemerlang 4.00 dalam STPM 2022 yang diumum pada Khamis.
A
A
A

PARIT - Dua calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebuah sekolah di sini menerima kejutan sumbangan wang tunai RM1,000 selepas memperolehi keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 yang diumum pada Khamis.

Nur Izah Sabri dan Nur Haziqah Az-Zahra Yusaini, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah menerima sumbangan berkenaan daripada pengetua sekolah, Sabarudin Othman.

Insentif berkenaan diberikan atas kejayaan dua pelajar tersebut yang membantu peningkatan prestasi sekolah dalam peperiksaan kali ini.

Sabarudin ketika ditemui berkata, wang berkenaan diharap dapat digunakan bagi membantu persediaan pelajar terutama bagi urusan kemasukan ke universiti.

Nur Izah (kiri) dan Nur Haziqah Az-Zahra dari SMK Iskandar Shah memperolehi keputusan cemerlang 4.00 dalam STPM 2022 yang diumum pada Khamis.
Nur Izah (kiri) dan Nur Haziqah Az-Zahra dari SMK Iskandar Shah memperolehi keputusan cemerlang 4.00 dalam STPM 2022 yang diumum pada Khamis.

"Lebih 85 peratus pelajar sekolah ini adalah kalangan B40, datangnya daripada anak-anak peneroka dan penduduk kampung.

"Jadi sumbangan wang tunai ini sekurang-kurangnya dapatlah meringankan beban mereka lebih-lebih lagi nak masuk ke universiti ini perlukan belanja besar," katanya.

Beliau berkata, sebagai sebuah sekolah luar bandar, kejayaan dua pelajar tersebut memperoleh PNGK 4.00 dianggap satu prestasi membanggakan.

"Ini antara kejayaan terbaik pernah direkodkan kerana tahun sebelumnya, hanya seorang berjaya peroleh 4.00," katanya.

Dalam peperiksaan STPM kali ini, SMK Iskandar Shah mencatatkan purata gred sekolah 2.75 dengan 97 daripada 98 calonnya lulus.

Sementara itu, Nur Izah yang merupakan anak peneroka dari Felcra Nasaruddin, Bota bersyukur dengan sumbangan berkenaan kerana boleh digunakan membeli barangan keperluan ke institusi pengajian tinggi (IPT).

"Saya telah membuat permohonan kemasukan ke Universiti Sains Malaysia (USM) dalam fakulti pendidikan.

"Hasrat saya nak jadi cikgu supaya dapat jadi contoh kepada anak-anak Felcra yang lain," katanya.

Anak ketiga daripada empat beradik itu sedar akan kepayahan ibu bapanya dalam membesarkan mereka sekeluarga dan berharap kejayaannya menjadi titik tolak mengubah nasib keluarga.

"Bila ayah pergi kebun sawit saya sedih juga, nak tanggung keluarga kami dengan hasil sawit yang kadang-kadang tidaklah banyak.

"Saya dedikasikan kejayaan ini kepada ibu bapa saya, mereka sangat gembira sebab langsung tak jangka saya dapat PNGK 4.00," katanya.