SPCAAM mahu taraf gaji sesuai untuk hidup dalam negara menua

Para panelis bergambar bersama tetamu pada forum khas yang bertemakan "Adakah Rakyat Malaysia Mampu Untuk Menikmati Kehidupan Yang Baik Selepas Bersara" yang diadakan di Nube House, Kuala Lumpur. - FOTO: Rosli Talib
Para panelis bergambar bersama tetamu pada forum khas yang bertemakan "Adakah Rakyat Malaysia Mampu Untuk Menikmati Kehidupan Yang Baik Selepas Bersara" yang diadakan di Nube House, Kuala Lumpur. - FOTO: Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu berperanan menentukan taraf gaji yang sesuai untuk rakyat hidup dalam impak negara menua berpandukan Model Gaji Progresif.

Pengarah Sosio Ekonomi Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Dr Zouhair Rosli berkata, selain meningkatkan usia persaraan, pelaburan yang dilaksanakan kerajaan perlu berkualiti dengan memberi fokus kepada konsep digital serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berbanding struktur.

“Impak negara menua, orang tua semakin ramai dan pekerja semakin berkurangan. Pekerja harus bekerja dengan lebih keras untuk menggerakkan ekonomi semasa.

“Masalah gaji rendah dan ekonomi yang beroperasi dengan cara murah perlu diatasi segera selain memastikan bayaran upah (gaji) yang diterima pekerja lebih baik di masa akan datang,” katanya ketika ditemui selepas forum ‘Adakah Rakyat Malaysia Mampu Menikmati Kehidupan Yang Baik Selepas Bersara’ yang dianjurkan SPCAAM pada Rabu.

Zouhair ketika ditemui selepas forum anjuran SPCAAM pada Rabu.
Zouhair ketika ditemui selepas forum anjuran SPCAAM pada Rabu.



Dalam pada itu Zouhair menjelaskan, isu melibatkan struktur ekonomi negara harus diteliti semula bagi memberi jaminan peluang pekerjaan kepada golongan muda susulan ramai graduan terpaksa bekerja dengan jawatan yang tidak setaraf pendidikan mereka.

Beliau berkata, ketika ini ramai graduan universiti terpaksa ‘berebut’ pekerjaan dengan individu yang lebih tua untuk mendapatkan jawatan setaraf bidang pendidikan.

“Pembuat dasar iaitu kerajaan harus lihat semula perkara ini dan jangan salahkan orang muda yang dikatakan memilih kerja.

“Anak muda tidak memilih pekerjaan (kerana) kalau mereka dikatakan pilih, tidak akan wujud isu pengangguran seperti yang berlaku masa sekarang.

“Apa yang berlaku adalah pekerjaan untuk graduan tiada, mereka terpaksa memilih kerja yang tidak setaraf dengan pendidikan,” ujarnya.