Ops Kesan: Perkeso Negeri Sembilan keluarkan 24 kompaun

Kakitangan Perkeso menjalankan pemeriksaan dalam Ops Kesan di Tampin, pada Rabu.
Kakitangan Perkeso menjalankan pemeriksaan dalam Ops Kesan di Tampin, pada Rabu.
A
A
A

TAMPIN - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Sembilan melakukan pemeriksaan terhadap 153 premis majikan dan mengeluarkan 24 notis kompaun dalam Ops Kesan yang bermula Isnin lalu sehingga 12 tengah hari Rabu.

Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, Nur Muhammad Bakhtir Mohamad Akhir berkata, kompaun itu membabitkan 17 kesalahan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan tujuh lagi di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

"Keseluruhan jumlah kompaun bagi kedua-dua akta itu melibatkan nilai sebanyak RM29,000.

"Operasi ini dimulakan di Bandar Enstek, Nilai diikuti daerah Tampin seterusnya secara berperingkat di daerah lain selepas tempoh pemutihan berakhir pada 30 Jun lalu," katanya kepada pemberita ketika ditemui ketika Ops Kesan di premis perniagaan sekitar Taman Indah di sini pada Rabu.

Katanya, berdasarkan rekod pendaftaran Perkeso Negeri Sembilan sehingga 30 Jun lalu, sejumlah 43,020 majikan aktif telah berdaftar dengan Perkeso membabitkan kira-kira 232,066 pekerja aktif di bawah perlindungan Perkeso.

"Kegagalan majikan untuk mendaftarkan perusahaan dan pekerja merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan pengkompaunan dan pendakwaan.

"Jumlah kompaun yang boleh dikenakan bagi setiap kesalahan yang dilakukan boleh mencecah sehingga RM5,000.

" Selain itu, majikan juga akan dikenakan penalti atau Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) pada kadar enam peratus setahun atas setiap hari caruman lewat dibayar," katanya.

Menurutnya, sekiranya gagal berbuat demikian, majikan boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Untuk makluman, aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan Perkeso sepanjang tahun lalu menyaksikan sebanyak 89 Notis Kompaun dengan anggaran nilai RM80,000 telah dikeluarkan kepada majikan yang gagal mendaftar perusahaan dan pekerja.

"Dalam tempoh yang sama, lima tindakan pendakwaan telah diambil ke atas majikan atas pelbagai kesalahan," katanya.