UUM bina semula rumah pusaka hangus

Ahmad Bashawir (berdiri, tujuh dari kiri) menyerahkan replika kunci rumah baharu kepada bapa Noor Asniza, Abd Razak Kassim di Kampung Raja, Mukim Jeram semalam.
Ahmad Bashawir (berdiri, tujuh dari kiri) menyerahkan replika kunci rumah baharu kepada bapa Noor Asniza, Abd Razak Kassim di Kampung Raja, Mukim Jeram semalam.
A
A
A

JITRA - Ramadan kali ini memberi 1001 makna kepada pelajar tahun kedua Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam, Universiti Utara Malaysia (UUM) Noor Asniza Abd Razak, 21 dan keluarganya apabila hasrat mereka untuk memiliki rumah baharu tercapai.

Rumah baharu itu bagi menggantikan rumah pusaka berusia lebih 10 tahun didiami Noor Asniza sekeluarga di Kampung Raja, Jeram di sini yang musnah dalam kebakaran pada Februari lalu dan ia dibina UUM menerusi Persatuan Alumni UUM (PAUUM) dengan kerjasama Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara.

Naib Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, pembinaan semula rumah yang membabitkan kos RM30,000 itu adalah simbol kepada kesepakatan warga UUM dan komuniti bagi membantu golongan yang memerlukan.

"Saya berasa bangga apabila mengetahui rumah ini berjaya disiapkan dalam tempoh singkat iaitu selama 35 hari sahaja sebelum diserahkan kepada keluarga Noor Asniza. Ia satu usaha yang sangat luar biasa.

"Saya berterima kasih kepada semua yang berusaha memberikan sumbangan dalam pelbagai bentuk sama ada wang, tenaga dan buah fikiran untuk menjadikan hasrat murni ini menjadi satu kenyataan," katanya pada majlis penyerahan kunci rumah berkenaan di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Hendrik Lamsali; Ketua Pegawai Eksekutif ABM Wilayah Utara, Mohd Nazri Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif UAC Berhad, Gan Boon Ting.

Menurutnya, UUM bukan sekadar menjadi institusi pengajian tinggi yang menyediakan platform kepada pelajar untuk mendapatkan ijazah tetapi juga berhasrat untuk mendekatkan diri dengan masyarakat kampung atau komuniti.

"Untuk itu, kita melancarkan 1 Fakulti 1 Daerah bertujuan mendekati penduduk tempatan kerana tanpa masyarakat, tiadalah universiti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rumah baharu bernilai RM30,000 siap dibina dalam tempoh 35 hari demi memberi peluang kepada Noor Asniza sekeluarga menyambut ramadan di rumah berkenaan.
Rumah baharu bernilai RM30,000 siap dibina dalam tempoh 35 hari demi memberi peluang kepada Noor Asniza sekeluarga menyambut ramadan di rumah berkenaan.

Sementara itu, Presiden PAUUM, Dr Mohd Azlan Yahya berkata, pihaknya mengambil peranan aktif serta inisiatif untuk membantu dari aspek khidmat bakti kepada pelajarnya.

"Di samping itu, PAUUM juga menyahut saranan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik supaya alumni sentiasa memainkan peranan penting dalam membangunkan universiti dan sekolah di bawah penyeliaan Kementerian Pendidikan Malaysia.

"Saya juga berterima kasih kepada ABM Wilayah Utara dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia serta pelbagai pihak termasuk penduduk setempat kerana tanpa khidmat bantuan daripada agensi ini, inisiatif baik sebegini tidak mungkin dapat disiapkan lebih awal," katanya.

Noor Asniza ketika ditemui berkata, dia berasa syukur dan terharu atas keprihatinan UUM kerana sudi membina semula rumahnya yang hangus.

"Terima kasih kerana mengembalikan semula keceriaan kepada saya sekeluarga, tambah-tambah lagi pada bulan Ramadan ini, malah saya juga tidak jangka rumah ini akan disiapkan dengan lebih awal.

"UUM banyak membantu saya dan keluarga dari aspek kewangan sehinggalah dapat memiliki rumah baru ini. Alhamdulillah, kami tidak perlu lagi menumpang di rumah saudara terdekat untuk menyambut Ramadan dan Syawal," kata anak ketiga daripada empat beradik itu.

Terdahulu, selepas kejadian kebakaran itu, seramai 200 Sukarelawan UUM bersama 60 Perajurit Muda dari Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, 78 ahli Persatuan Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Nyior serta penduduk tempatan bergotong-royong membersihkan rumah Noor Asniza sebelum proses pembinaan semula dijalankan pada penghujung Mac lalu.