13 pelajar sesak nafas selepas ujikaji makmal

Seramai 13 pelajar SMK Bayan Lepas mengalami sesak nafas ketika mengikuti subjek Kimia pagi tadi.
Seramai 13 pelajar SMK Bayan Lepas mengalami sesak nafas ketika mengikuti subjek Kimia pagi tadi.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Seramai 13 pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bayan Lepas mengalami sesak nafas selepas menjalankan ujikaji makmal ketika mengikuti subjek Kimia pagi tadi.

Ketua Zon II Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohamad Shahrul Nizam Che Hasan berkata, kesemua pelajar mengalami simptom berkenaan ketika menjalankan ujikaji menggunakan cecair iodin pada jam 9 pagi.

Menurutnya, semua pelajar terbabit sedang memanaskan cecair iodin untuk melihat tindak balas pemeluapan.

"Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 9.57 pagi dan bergegas ke sekolah berkenaan bersama pasukan perubatan.

“Sebaik tiba, kita membantu memberi rawatan awal kepada pelajar terbabit iaitu 11 pelajar perempuan dan dua pelajar lelaki," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, daripada jumlah itu, seorang pelajar perempuan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

"Semua mangsa diberi pengawasan dan bantuan oksigen oleh pasukan perubatan. Hanya seorang pelajar dibawa ke HPP. Pelajar lain difahamkan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Seramai tujuh anggota bomba dari Balai Bomba Bayan Baru melakukan kerja pengudaraan bagi membantu mengeluarkan wap cecair iodin berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai punca kejadian, beliau berkata proses pemanasan cecair iodin itu dipercayai dilakukan di dalam makmal yang tidak mempunyai aliran pengudaraan yang baik.

“Tiada bahan kimia yang berbahaya dan tiada anggota Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dipanggil untuk membantu kerana tidak membabitkan pencemaran bahan berbahaya,” katanya.