DAP tidak 'memperkuda' ahli politik Melayu

RSN Rayer - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
RSN Rayer - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

SHAH ALAM - DAP tidak pernah ‘memperkudakan’ ahli politik Melayu kerana parti berkenaan bukanlah memfokuskan nasib kaum tertentu sebaliknya memperjuangkan kepentingan masyarakat majmuk.

Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, RSN Rayer berkata, DAP hanya dimomokkan oleh sesetengah pihak yang mengatakan bahawa parti itu meminggirkan orang Melayu.

“Parti ini bukanlah sebuah parti yang memperjuangkan mana-mana kaum tertentu kerana kita juga ada ahli daripada kaum Melayu seperti Young Syefura Othman.

“Kita sama sekali tidak memperkudakan pihak lain dan pelawaan juga telah dibuat. Keterlibatan mereka untuk menyertai DAP adalah bukti bahawa kita memperjuangkan nasib kesemua kaum dan kepentingan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Siri 405 yang bertajuk PRN: Banyak Isu Belum Selesai? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini, pada Selasa.

Program itu dihoskan Ismail Adnan dan turut menampilkan tiga panelis lain iaitu Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Mohd Yadzil Yaakub; Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Rayer menegaskan bahawa DAP sama sekali tidak mengetepikan hak bangsa lain dan menjadikan Pulau Pinang sebagai contoh pentadbiran di bawah naungan parti itu.

“Saya mengajak orang ramai datang dan melawat Pulau Pinang untuk melihat sendiri perkara yang telah kami lakukan di negeri ini.

“Keutamaan kita adalah memastikan masyarakat majmuk yang ada di Pulau Pinang sentiasa berada dalam keadaan kukuh dan arus yang betul,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kata-kata dan nasihat daripada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat sentiasa dijadikan pegangan.

Katanya, Nik Abdul Aziz pernah menyarankan aktiviti gotong-royong di kubur atau masjid untuk diadakan setiap menjelangnya bulan Ramadan.

Tambah Rayer lagi, bekas mursyidul Am Pas itu juga layak untuk dijadikan ikon perpaduan kerana tidak pernah membangkitkan isu perkauman.

“Tidak pernah sesekali beliau mengeluarkan kenyataan yang boleh menggores hati masyarakat India atau Cina di negara kita.

“Bagaimanapun berbeza pula dengan pemimpin Pas kini kerana ada yang mendakwa bahawa orang Cina dan India lebih cenderung untuk melakukan rasuah,” katanya.

Beritahu beliau, kenyataan berbaur perkauman tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin parti yang berpaksikan kepada agama dan ajaran baik.