JAIPk tahan anggota polis mabuk di pusat hiburan

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengesahkan penahanan seorang anggota polis dalam keadaan mabuk dalam satu operasi di sebuah pusat hiburan Taman Bercham Jaya di sini, Sabtu lalu.

Pengarahnya, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, penjawat awam berusia 33 tahun itu ditahan anggota penguat kuasa kerana disyaki melakukan kesalahan minum minuman yang memabukkan.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 59 Enakmen Jenayah Perak 1992.

"Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

"Operasi seperti ini akan dilakukan dari semasa ke semasa dan masyarakat diingatkan sentiasa memelihara diri daripada melakukan perkara yang ditegah agama," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Sinar Harian melaporkan enam anggota polis ditahan dalam serbuan oleh JIPS Bukit Aman dan JAIPk bagi mengesan pelanggaran dan salah laku yang dilakukan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Seorang wanita warga Indonesia turut ditahan dalam bilik karaoke itu selain menemukan sepeket serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin.

Kesemua anggota berpangkat koperal dan lans koperal yang bertugas di salah sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) negeri itu kini disiasat oleh JIPS Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.