Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

RINGGIT ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini ketika para pelabur menunggu lebih banyak petunjuk mengenai keadaan inflasi di Amerika Syarikat (AS) daripada data Indeks Harga Pengguna (IHP) yang akan diumumkan pada Rabu.

Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 4.6570/6610 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6685/6725 pada Isnin.

Ketua ahli ekonomi dan ketua kewangan sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, peserta pasaran akan menilai pandangan mereka mengenai kadar faedah AS berdasarkan kepada angka IHP AS yang begitu ditunggu-tunggu.

"Angka IHP AS pada Rabu merupakan fokus utama minggu ini apabila konsensus menunjukkan bahawa inflasi akan menyederhana pada Jun,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pandangan konsensus adalah inflasi keseluruhan dan IHP teras AS akan mencatatkan peningkatan perlahan pada Jun masing-masing pada 3.1 peratus (Mei: 4.0 peratus) dan 5.0 peratus (Mei: 5.3 peratus).

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding euro kepada 5.1264/1308 daripada paras penutup 5.1176/1220 pada Isnin, turun berbanding yen Jepun kepada 3.3162/3193 daripada 3.2761/2792 dan jatuh berbanding pound Britain kepada 6.0136/0187 daripada 5.9785/9836.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang negara ASEAN lain.

Unit tempatan jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4723/4755 daripada paras penutup 3.4612/4644 pada Isnin dan susut berbanding baht Thai kepada 13.3780/3956 daripada 13.2790/2961.

Ringgit berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 307.2/307.7 daripada 306.9/307.4 dan turun berbanding peso Filipina kepada 8.42/8.43 daripada 8.38/8.39. - Bernama