'3D' faktor graduan tak pilih kerjaya pertanian

Rubiah (kanan) menyampaikan anugerah Menteri
Kemajuan Desa dan Wilayah kepada seorang graduan semasa Majlis Konvokesyen UCAM Kali ke-20 di Dewan Tuanku Canselor USIM, di sini pada Selasa.
Rubiah (kanan) menyampaikan anugerah Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kepada seorang graduan semasa Majlis Konvokesyen UCAM Kali ke-20 di Dewan Tuanku Canselor USIM, di sini pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Kotor, merbahaya dan sukar (3D) menyebabkan tidak ramai graduan memilih kerjaya dalam bidang pertanian walaupun hakikatnya bidang tersebut menawarkan pelbagai perkhidmatan dalam kelasnya yang tersendiri.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, mereka seharusnya mengubah persepsi kerana bidang pertanian hari ini mempunyai cabang yang lebih luas.

"Memang kalau dilihat senario semasa respon daripada pelajar dalam bidang pertanian berkurangan. Faham sajalah, bidang yang terpaksa duduk di bawah terik matahari.

"Namun di bawah agensi kita, khususnya menerusi Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), kita cuba menarik perhatian pelajar dengan mempelbagaikan kursus ditawarkan," katanya padang sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen UCAM Kali ke-20 di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Eksekutif UCAM, Faizatul Akmar Hisan pada majlis Konvokesyen meraikan 300 graduan yang menerima anugerah dalam pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda, Diploma, Sijil dan Program Eksekutif.

Sementara itu, beliau dalam ucapannya turut memberitahu pendidikan berteraskan Agrosains mampu menawarkan peluang besar kepada perkembangan sektor pertanian dan pengeluaran makanan.

Malah katanya, ia juga dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara dan menjamin kesejahteraan rakyat.

"Seiring dengan perkembangan fungsi pertanian, UCAM menawarkan pelbagai bidang pembelajaran yang menekankan kepentingan Agrosains sebagai teraju utama dalam penawaran perkhidmatan sektor pendidikan.

"Sektor pertanian agromakanan misalnya, juga memerlukan kepakaran teknikal di lapangan dalam bidang teknologi maklumat dan kejuruteraan kerana penggunaan teknologi moden seperti dron dan Internet Kebendaan (IoT) telah mempelbagaikan peluang pekerjaan dalam sektor pertanian," katanya.

Jelas Rubiah, kewujudan UCAM dapat menangkis persepsi yang bidang pertanian kurang menarik dijadikan sebagai kerjaya.

"UCAM telah menawarkan program pengajian Agrosains bagi membentuk kerjaya Agronomis dan Agropreneur yang bukan sahaja dalam kalangan pelajar di institusi secara sepenuh masa tetapi turut terlibat menerusi komuniti luar bandar," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, setakat ini, UCAM telah melahirkan seramai 5,268 graduan dalam bidang agrosains dan agroprenuer yang telah menyumbang kepada peningkatan persekitaran ekonomi dalam pelbagai bidang bagi menyokong rantaian dalam sektor pertanian.

"Kewujudan pekerjaan ini telah membantu mengurangkan kadar pengangguran dan memberi kesan positif kepada ekonomi negara secara keseluruhannya.

"Peranan UCAM membangunkan ekonomi dan sahsiah jati diri komuniti luar bandar berjaya dibuktikan melalui pembabitan dalam industri halal yang mana akreditasi halal amat penting untuk memenuhi keperluan dan kehendak pengguna Muslim," katanya.

Rubiah berkata, UCAM juga telah melatih hampir 500 usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan 150 pihak industri bagi mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Katanya, UCAM turut menyediakan Pusat Pengendali Latihan Makanan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjalankan Kursus Pengendalian Keselamatan Malaysia kepada peniaga- peniaga yang menjalankan perniagaan berasaskan makanan.

"Saya yakin dan percaya, UCAM mempunyai potensi yang besar untuk menjadi pusat keunggulan dalam penyelidikan dan pembelajaran pertanian.

"Sokongan yang padu dari pelbagai pihak dan peningkatan program akademik yang relevan, UCAM dapat menarik lebih ramai pelajar berbakat dan membangunkan bidang pertanian yang inovatif di negara ini," katanya.

Beliau menambah, UCAM turut meluaskan operasinya dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan pasaran kerja khususnya dalam bidang Pertanian dan Agrikultur, Keusahawan dan Teknousahawan, Teknologi Maklumat serta Senireka dan Multimedia Kreatif.

"Selain itu pelaksanaan TVET Khas Wanita dengan pengambilan seramai 15,000 wanita dalam program ini bakal berperanan sebagai program TVET rentas pertama melalui kerjasama antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) dan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM).

"Saya yakin program TVET Khas Wanita ini akan mampu menjadi pemangkin dan contoh terbaik untuk lebih banyak IPT menawarkan program kerjasama yang bersifat situasi menang-menang bagi latihan teknikal dan vokasional melalui pengenalan inisiatif rentas universiti ini," katanya.