70 mangsa ribut Felda Chini terima bantuan

Sh Mohmed Puzi (kanan) menyerahkan bantuan prihatin kepada mangsa ribut.
Sh Mohmed Puzi (kanan) menyerahkan bantuan prihatin kepada mangsa ribut.
A
A
A

PEKAN - Seramai 70 mangsa ribut yang mengalami kerosakan rumah dan premis perniagaan akibat bencana itu Ahad lalu, menerima bantuan prihatin dari pejabat Ahli Parlimen Pekan.

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali berkata, mangsa terdiri daripada peneroka Felda Chini dan peniaga menerima bantuan RM300 hingga RM500 mengikut kerosakan rumah yang dialami.

"Difahamkan kejadian angin kencang merosakkan 70 rumah dan kedai adalah yang terburuk pernah berlaku di Felda Gugusan Chini. Kita simpati dan berharap setiap mangsa bersabar dengan ujian diterima.

"Jadi, bantuan ini diharap dapat meringankan beban ditanggung mereka yang berdepan dengan kerosakan pada bahagian bumbung," katanya Majlis Penyerahan Sumbangan Bencana Ribut DUN Chini di Dewan Dato Shahbandar Chini, di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Mohd Shahrim Md Zain dan Pegawai Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkipli.

Pada majlis berkenaan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) turut menyumbang kit makanan asas kepada setiap mangsa ribut.

Sebelum ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang telah menyerahkan bantuan segera Tabung Malapetaka Daerah (TMD) antara RM300 hingga RM1,000 kepada setiap mangsa.

Sementara itu, Pengarah JKM Pahang, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, jumlah bantuan TMD diberikan mengikut kerosakan pada setiap rumah.

"Penilaian perlu dibuat bagi penentuan jumlah bantuan akan diputuskan oleh pegawai JKM.

"Bantuan prihatin yang diberikan menerusi kumpulan wang amanah jawatankuasa malapetaka negeri Pahang bagi meringankan beban setiap mangsa," katanya