TFC pertaruh rekod cemerlang Tukhtasinov

Nurillo Tukhtasinov - Foto Terengganu FC
Nurillo Tukhtasinov - Foto Terengganu FC
A
A
A

TERENGGANU FC (TFC) memantapkan bahagian tengah skuad Penyu apabila menyambar khidmat pemain dari Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Ab Rasid Jusoh berkata, pemain berusia 26 tahun itu memiliki rekod cemerlang pernah dinobatkan sebagai pemain tengah terbaik Liga Uzbekistan.

Katanya, Tukhtasinov yang berketinggian 1.72 meter itu pernah beraksi bersama pasukan FC Neftchi Fergana di Liga Super Uzbekistan sebelum menyertai TFC.

“Tukhtasinov menandatangani kontrak selama 18 bulan dengan skuad Penyu bagi mengisi kuota pemain import bebas.

“Kehadirannya dapat memberi impak positif kepada kelab untuk mengharungi baki saingan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala Konfederasi Asia (AFC) yang dijangka bermula September depan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Ab Rasid menyifatkan pemilihan Tukhtasinov berdasarkan pengalaman luas dalam skuad kebangsaan Uzbekistan.

Dia pernah menyarung jersi skuad Bawah 19 tahun, skuad Bawah 20 tahun dan skuad Bawah 23 tahun.

“Ini adalah kali pertama beliau beraksi di Liga Malaysia bersama pasukan hitam putih dan akan memakai jersi bernombor 97, iaitu sempena tahun kelahirannya 1997.

“Beliau akan tiba di Terengganu dalam masa terdekat untuk memulakan latihan bersama rakan sepasukan,” katanya.

Sementara itu, Tukhtasinov mengakui amat teruja untuk memulakan cabaran di Liga Malaysia yang amat asing baginya.

Bagaimanapun katanya, ia tidak menjadi halangan kerana misi utama adalah untuk membantu TFC memperoleh kejayaan.