KPTM kongsi ilmu, periksa kesihatan masyarakat Narathiwat

Pemeriksaan kesihatan dijalankan oleh penuntut KPTM Kota Bharu.
Pemeriksaan kesihatan dijalankan oleh penuntut KPTM Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Pihak pendidikan Wilayah Narathiwat, Thailand menzahirkan penghargaan atas perkongsian ilmu dan pemeriksaan kesihatan percuma yang dilaksanakan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) selama tiga hari di negara berkenaan bermula Sabtu lalu.

Perkara tersebut disampaikan Pengarah Pendidikan Wilayah Narathiwat, Pinya Rattanaworachat yang turut berucap merasmikan program khidmat sosial (CSR) anjuran Kelab D’prodigy KPTM Kota Bharu.

“Saya sangat mengalu-alukan kedatangan KPTM Kota Bharu bagi membantu proses penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar tempatan.

“Selain menggalakkan keprihatinan penjagaan kesihatan dalam kalangan masyarakat kampung,” kata beliau.

Kedatangan pihak KPTM Kota Bharu yang disambut meriah di Thailand.
Kedatangan pihak KPTM Kota Bharu yang disambut meriah di Thailand.

Dalam pada itu, Penasihat Kelab D’prodigy KPTM Kota Bharu, Marinee Mohd Suhaimi berkata, program itu mendapat kerjasama Pejabat Pendidikan Swasta Daerah Rueso dan pemimpin-pemimpin tempatan hingga membolehkan porgram berjalan dengan lancar.

Menurut beliau, seramai 20 penuntut dan lapan staf pengiring terlibat dalam dalam Program CSR @ NARA yang diadakan di daerah Rueso itu.

“10 penuntut melibatkan Diploma Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) yang mengendalikan English Camp kepada 100 pelajar tempatan dari enam sekolah sekitar Rueso.

“Selebihnya terdiri daripada penuntut Diploma Kejururawatan yang terlibat dengan pemeriksaan kesihatan percuma di kampung-kampung sekitar mukim Samakkhi di daerah itu,” katanya.

Ujar beliau, porgram itu kali kedua dilaksanakan di negara jiran berkenaan sebelum dibuat di Hatyai pada tahun 2014.