Isu 3R: PN Perak gesa Guan Eng disiasat di bawah SOSMA

PN Perak membuat laporan polis terhadap Guan Eng berhubung isu 3R di IPD Ipoh pada Isnin.
PN Perak membuat laporan polis terhadap Guan Eng berhubung isu 3R di IPD Ipoh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Perikatan Nasional (PN) Perak menggesa agar Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dikenakan tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Pemudanya, Mohd Hafez Sabri berkata, tindakan itu berikutan kenyataan Guan Eng yang menyentuh isu berkaitan agama, raja dan kaum (3R) hingga boleh menggugat ketenteraman awam dan perpaduan negara.

"Kami mengecam penuh kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Bagan itu yang mana PN akan memusnahkan tokong jika berjaya perintah Pulau Pinang.

"Kenyataan dikeluarkan beliau bercanggah dengan kenyataan pemimpin Kerajaan Perpaduan yang kononnya lantang dalam isu 3R ini," katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Mohamad Amin Roslan; ADUN Titi Serong, Muhammad Hakimi Hamzi Mohd Hayat; ADUN Slim, Muhammad Zulfadli Zainal; ADUN Kubu Gajah, Khalil Yahaya dan ADUN Trong, Muhammad Faisal Abdul Rahman.

Mohd Hafez yang juga ADUN Manjoi berkata, tindakan Guan Eng disifatkan sebagai terdesak untuk menjatuhkan pihak lawan dan satu agenda menakutkan kaum bukan Melayu.

"Laporan ini bagi membolehkan polis ambil tindakan segera. Ucapan beliau tersasar jauh dan gambaran diberikan juga adalah salah sedangkan negara kita ada peraturan dan undang-undang.

"Kita sangat sensitif apabila ada pihak yang cuba bangkitkan api perkauman seperti ini. Walaupun Guan Eng sudah 'spin' balik kenyataannya itu, beliau boleh dikenakan SOSMA," katanya.

Guan Eng sebelum ini menolak dakwaan beliau sengaja membangkitkan isu 3R ketika menyentuh berkenaan perobohan tokong Budha atau Cina dalam ucapan pada satu program di Jelutong, Pulau Pinang.

Sementara itu, menerusi kenyataan di Facebooknya, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menegaskan, ucapannya sudah diputar belit, seolah-olah ada pihak ingin merobohkan tokong Budha atau Cina.

Jelasnya, dia merujuk kepada kes sebuah kuil Hindu dirobohkan pada Julai 2020 di Kedah dan turut melampirkan keratan akhbar untuk menyokong kenyataan beliau.