Bursa dijangka pulih sebaik persekitaran monetari stabil

Abdul Wahid - Foto Bernama
Abdul Wahid - Foto Bernama
A
A
A

PRESTASI Bursa Malaysia dijangka pulih apabila kadar faedah global menjadi lebih stabil, seterusnya mengembalikan minat dan aliran masuk asing ke rantau ini, kata Pengerusi Bursa Malaysia Bhd, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Malaysia menyaksikan aliran keluar asing bersih sebanyak RM4.2 bilion pada separuh pertama 2023 berikutan perbezaan kadar faedah Malaysia-Amerika Syarikat (AS) menyebabkan pelabur memilih meningkatkan pegangan aset selamat semasa tempoh ketaktentuan ekonomi global, katanya.

Tahun lalu, dalam keadaan stabil, Bursa Malaysia mencatatkan aliran masuk asing sebanyak RM4.4 bilion.

"Bukan sahaja pasaran saham Malaysia sahaja terjejas, pasaran lain juga tidak terlepas. Thailand lebih terkesan lebih teruk lagi.

"Seperti saya sebut, pelabur perlu fokus kepada fundamental. Apabila ekonomi AS, Eropah dan United Kingdom lebih stabil, mereka tidak lagi, akan menaikkan kadar faedah dan ini akan menyebabkan pengaliran dana balik ke pasaran membangun," katanya kepada pemberita semasa majlis penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) SkyWorld Development Bhd disini pada Isnin.

Abdul Wahid berkata, pada paras bawah 1,400 mata, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada kadar PE (nisbah harga kepada pendapatan) berganda bagi pasaran sekitar 12 kali sahaja.

"Ini lebih rendah berbanding PE sejarah iaitu 16 kali. Jadi sekali lagi, melihat kepada jangka panjang, menangani asas dan selepas kita melabur untuk jangka sederhana serta panjang, ia pasti akan kembali,” katanya. - Bernama