Dua lelaki 'sakau' duit masjid kena cekup

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Memasuki masjid atau surau pada waktu awal pagi dan tengah malam menjadi modus operandi dua penjenayah 'sakau' duit masjid yang dikesan berlaku di daerah Jempol dan Kuala Pilah sejak awal tahun ini.

Bagaimanapun tindakan dua lelaki berusia 25 tahun dan 29 tahun itu terbongkar selepas mereka ditahan polis pada Jumaat dan Ahad lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, dengan penahanan kedua-dua suspek, polis percaya telah menyelesaikan enam kes pecah tabung masjid di Kuala Pilah dan dua di Jempol yang melibatkan kerugian RM4,000.

"Modus operandi suspek ialah dengan bertindak mengait wang di dalam tabung masjid dan juga memotong mangga tabung tersebut menggunakan pemotong.

"Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan curi motosikal dan dadah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, di sini pada Isnin.

Menurutnya, polis turut merampas beberapa barangan yang digunakan untuk memecah tabung masjid iaitu pemotong besi, pemotong paip dan sebatang dawai besi warna hitam.

Tambahnya, turut dirampas iaitu sebuah kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback dan dua kunci kenderaan.

"Suspek telah direman empat hari bermula pada 10 Julai hingga 13 Julai ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara boleh sampai lima tahun dan boleh juga dikenakan denda," katanya.