Tip kekal istiqamah lakukan ibadah

Berdoalah kepada ALLAH SWT agar ditetapkan hati kita untuk istiqamah melakukan ibadah secara berterusan. -GAMBAR HIASAN.
Berdoalah kepada ALLAH SWT agar ditetapkan hati kita untuk istiqamah melakukan ibadah secara berterusan. -GAMBAR HIASAN.
A
A
A

"SAYA sudah cuba banyak kali tetapi gagal juga. Bagaimana mahu istiqamah ya?"

Mungkin situasi itu pernah kita hadapi, bukan?

Ya, bukan mudah untuk kita istiqamah terutama dalam melakukan ibadah secara berterusan.

Selalunya, impian yang ingin kita capai sangat berbeza dengan tindakan yang kita ambil.

Padahal, Rasulullah SAW telah berpesan menerusi hadis baginda: "Lakukanlah amal sesuai dengan kesanggupan kerana sesungguhnya ALLAH SWT tidak akan bosan sehingga engkau menjadi bosan. Dan sesungguhnya amal yang paling ALLAH SWT sukai ialah yang terus-menerus dikerjakan walaupun sedikit." (Riwayat Abu Dawud)

Bahkan, baginda SAW sendiri tidak pernah mengikut mood apabila melakukan amal ibadah, tidak seperti kita.

Misalnya, solat malam. Baginda akan melakukannya tanpa meninggalkannya.

Jika ada halangan, Nabi Muhammad SAW akan menggantikannya dengan solat sunat sebanyak mana rakaat yang selalu dilakukan pada waktu siang.

Artikel Berkaitan:

Ia berbeza benar dengan sikap kita yang hanya akan melaksanakan sebanyak mana yang termampu dalam satu masa sahaja.

Bagaimana mahu kekal istiqamah?

Apa kata kita cuba cara ini:

1. Mulakan dengan sesuatu yang sangat mudah dan sedikit dahulu.

2. Lakukan peningkatan setiap hari. Selepas itu, sedikit demi sedikit lakukan penambahan kepada yang besar dan semakin besar.

3. Pastikan peningkatan yang dilakukan itu semuanya mudah untuk dilaksanakan. Jangan biarkan peningkatan itu menjadi sulit demi mengelakkan semangat yang ada menjadi pudar.

4. Paling utama, sentiasa memohon kepada ALLAH SWT agar ditetapkan hati untuk istiqamah melakukannya.

Nampak mudah, bukan? Ayuh kita cuba laksanakannya sama-sama.

Apatah lagi, dalam bulan Ramadan yang mempunyai pelbagai keistimewaan ini untuk kita meningkatkan amal ibadah.

(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)