Bela nasib wanita, Selangor tambah dana bantuan guaman kes syariah

Amirudin Shari - Foto Bernama
Amirudin Shari - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Peruntukan inisiatif Dana Bantuan Guaman Selangor ditambah kepada RM2 juta berbanding RM1 juta sebelum ini bagi memastikan lebih ramai golongan berpendapatan rendah menerima manfaat.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan pertambahan dana itu dibuat selepas kes syariah dimasukkan dalam senarai bantuan manakala had kelayakan isi rumah keluarga turut dinaikkan kepada RM5,000 daripada RM2,000.

“Sebelum ini, dana ini hanya tertakluk bagi kes kekeluargaan (sivil). Peluasan skop ini akan membantu lebih ramai wanita yang ditindas dan memerlukan bantuan guaman dalam isu domestik.

“Malah sebelum ini, dana ini terbuka untuk keluarga berpendapatan RM2,000 ke bawah sahaja tetapi sekarang ditingkatkan kepada RM5,000.

"Inisiatif ini adalah usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membela nasib golongan wanita di negeri Selangor,” kata Menteri Besar dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2023 pada tahun lalu mengumumkan skim bantuan guaman percuma bakal diperluas ke kes syariah bagi membantu wanita yang tertindas.

Media sebelum ini turut melaporkan Selangor muncul sebagai negeri pertama menyediakan bantuan berkenaan dengan peruntukan RM1 juta menerusi penubuhan skim terbabit pada 24 Julai 2022.

Inisiatif tersebut bagi menyelesaikan isu kekeluargaan (sivil), pekerjaan serta kes kepentingan awam bagi memastikan masyarakat tidak ditindas dan terpinggir.