Lelaki tidak mengaku lawan arus sebabkan penunggang Ducati maut

Tertuduh ketika dibawa ke mahkamah.
Tertuduh ketika dibawa ke mahkamah.
A
A
A

AMPANG - [DIKEMASKINI] Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, atas satu pertuduhan menunggang secara melawan arus sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal Ducati, bulan lalu.

Mudzyadaha Mohammad, 42, yang memakai kemeja biru membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Amalina Basirah Md Top.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai penunggang motosikal, telah menunggang kenderaan itu secara melawan arus jalan, telah menyebabkan kematian penunggang motosikal, Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64.

Kesalahan didakwa dilakukan di kilometer 22.2 Lebuhraya Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) di sini, pada jam 1.10 petang, 14 Jun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda sehingga tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.

Seksyen itu turut memperuntukkan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan dan dalam hal sabitan kali kedua atau kemudian, hilang kelayakan selama 10 tahun.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sementara itu, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Izleen Ismail yang mewakili tertuduh, merayu agar kadar itu dikurangkan dengan alasan, Mudzyadaha perlu menanggung isteri yang tidak bekerja termasuk tiga anak mereka berusia 17, 12 dan lapan tahun.

Menurutnya, anak guamnya merupakan orang kurang upaya (OKU), pesakit mental dan menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Semasa kejadian, tertuduh tidak berfikir dengan waras sehingga berlakunya pelanggaran secara berlawanan arus jadi saya pohon pada mahkamah membenarkan untuk tertuduh menjalani ujian psikiatri di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah," kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Amalina membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan pada masa sama dibenarkan untuk menjalani ujian psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

“Tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan dan lesen memandu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai,” katanya.

Mahkamah menetapkan 10 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan laporan psikiatri tertuduh.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, seorang lelaki yang menunggang motosikal berkuasa tinggi sebelum jatuh dari jambatan, di Lebuhraya SUKE di sini, pada jam 1.10 petang, 14 Jun lalu.

Mangsa, Ahmad Fadzil menunggang motosikal jenis Ducati Panigale melalui jalan berselekoh dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal lain yang melawan arus.

Mangsa kemudian melanggar penghadang sebelah kiri jalan, sebelum tercampak ke bawah jambatan pada ketinggian kira-kira 30 meter.

Susulan itu, pihak polis merakam percakapan seorang suspek yang merupakan penunggang motosikal jenis Yamaha, bagi membantu siasatan kes tersebut.