Enam kemalangan dalam tempoh 6 jam

Teck Keng meninjau kerosakan pembahagi jalan akibat dirempuh kenderaan baru-baru ini.
Teck Keng meninjau kerosakan pembahagi jalan akibat dirempuh kenderaan baru-baru ini.
A
A
A

BAKRI - Enam kemalangan dalam tempoh enam jam berlaku akibat pengguna jalan raya yang tidak menyedari kewujudan projek pembinaan pembahagi jalan di laluan Muar-Melaka di Bakri di sini minggu lalu.

Ahli Majlis Perbandaran Muar, Er Teck Keng berkata, beberapa laporan kemalangan kecil diterima gara-gara pengguna tidak perasan tentang kerja-kerja pembinaan berhampiran persimpangan lampu isyarat di jalan pintasan di laluan berkenaan.

“Hujung minggu lalu hampir enam kemalangan didakwa berlaku dalam tempoh enam jam iaitu bermula jam 7.30 malam sehingga 3 pagi.

“Bagaimanapun hanya tiga kereta dan sebuah motosikal sahaja yang tampil membuat laporan polis. Selebihnya pemilik kenderaan tidak mengemukakan aduan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Teck Keng berkata, meskipun ia hanyalah kemalangan kecil namun keselamatan pengguna khususnya penunggang motosikal menjadi faktor penting.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan kurangkan kelajuan ketika berada di simpang berkenaan.

“Projek ini telah siap 80 peratus dan kini sistem keselamatan serta tanda amaran telah dipertingkatkan.

"Bagaimanapun kita menasihati pemandu supaya tidak memandu laju terutama pada waktu malam yang mungkin boleh mengelirukan pengguna jalan raya jika tidak berhati-hati,” katanya.

Artikel Berkaitan: