Lelaki maut kereta bertembung lori

Anggota bomba cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit. - Foto BBP Yong Peng
Anggota bomba cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit. - Foto BBP Yong Peng
A
A
A

BATU PAHAT - Seorang lelaki maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori di Kilometer (KM) 0.8, Jalan Yong Peng–Parit Sulong–Muar, Batu Pahat, Johor pada tengah malam, Ahad.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superitenden Shahrulanuar Mushaddat, berkata lori yang datang dari arah Parit Yaani menghala ke Yong Peng itu bertembung dengan kereta dari arah bertentangan yang secara tiba-tiba memasuki lorong (laluan lori) dan menyebabkan berlakunya kemalangan.

"Perlanggaran tersebut telah mengakibatkan pemandu kereta, seorang lelaki berusia 62 tahun meninggal dunia di tempat kejadian sementara pemandu lori berusia 49 tahun mengalami kecederaan di bahagian kaki.

"Kedua-duanya mangsa kemalangan tersebut telah dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat untuk pemeriksaan dan rawatan.

"Akibat kemalangan berkenaan, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan di bahagian hadapan," katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Keadaan kereta yang terbabit dalam kemalangan berkenaan - Foto Polis Batu Pahat
Keadaan kereta yang terbabit dalam kemalangan berkenaan - Foto Polis Batu Pahat

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Badrulhisyam Loi Abdullah dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan berkenaan melalui talian MERS999 pada jam 12.21 tengah malam, pada Ahad.

Katanya, sebaik menerima panggilan berkenaan, satu jentera FRT dan satu jentera EMRS dari BBP Yong Peng dengan tujuh anggota bomba telah dihantar ke lokasi.

"Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati kemalangan itu melibatkan sebuah lori lima tan dan sebuah Proton Iswara.

"Terdapat seorang mangsa lelaki dewasa tersepit di ruangan pemandu Proton Iswara dan PKO telah bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan Resque Tools.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mangsa diserahkan dengan pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.